Home Pertahanan dan Keselamatan Mohamaddin biadap terhadap anggota pasukan keselamatan – Menteri Pertahanan

Mohamaddin biadap terhadap anggota pasukan keselamatan – Menteri Pertahanan

by M.Daim

KUALA LUMPUR, 21 Sept – Menteri Pertahanan, Datuk Ismail Sabri Yaakob hari ini menegaskan dakwaan bekas Menteri Pelancongan, Datuk Mohamaddin Ketapi bahawa insiden Lahad Datu sebagai sandiwara adalah satu kenyataan yang biadap dilemparkan kepada pasukan keselamatan.

“Seluruh pasukan keselamatan khususnya Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengetahui situasi sebenar peristiwa yang berlaku pada tahun 2013,

“Tuduhan beliau bahawa peristiwa tersebut sebagai sandiwara adalah satu kenyataan biadab serta penghinaan kepada seluruh pasukan keselamatan negara khususnya kepada 10 keluarga anggota yang terkorban,” kata Ismail Sabri dalam satu kenyataan.

Menurutnya, tuduhan tersebut mencerminkan bahawa pemimpin politik terbabit tidak memahami serta memandang rendah pengorbanan anggota keselamatan kepada negara.

Ini terutamanya dengan melihat keadaan aman hasil titik peluh anggota keselamatan yang menjaga negara

“Apakah beliau sedar bahawa setiap anggota keselamatan menyabung nyawa untuk mempertahankan kedaulatan tanah Sabah dan bumi Malaysia ini dari serangan pengganas yang menyeberangi lautan dari Pulau Siminul Filipina agar bumi ini tidak ditakluk,

“Keamanan yang beliau nikmati hari ini hasil dari semua pejuang-pejuang yang terdiri dari anggota-anggota keselamatan pelbagai agensi yang menggadaikan nyawa setiap saat dan waktu memastikan keamanan,” ujarnya.

Beliau mengulas kenyataan Ahli Parlimen Lahad Datu, Datuk Mohamaddin Ketapi yang mendakwa insiden Lahad Datu pada tahun 2013 adalah agenda politik dan sandiwara semata-mata.

Mohamaddin turut menyatakan pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) hanya mengebom kelapa sawit manakala anggota infantri serta pasukan armor menyerang ayam dan anjing.

“Jadi ada peperangan konon di Tanduo datanglah jet (pesawat tentera) pergi Tanduo dibomnya sana kelapa sawit orang, habis hangus kelapa sawit orang, habis rumah orang koyak-mengoyak ditembak,

“Ini kenyataan, habis itu disuruh kereta kebal masuk pergi kampung-kampung, suruh berperang sama ayam. Siapa kawan dia berperang, tidak ada, ayam sama anjing di kampung kawan dia berperang,” katanya ketika ceramah sempena Pilihan Raya Negeri Sabah di Gelanggang Futsal, Kampung Warisan Lahad Datu pada Ahad lalu.

Insiden Lahad Datu yang berlaku pada tahun 2013 menyaksikan 10 orang anggota keselamatan maut ketika melaksanakan operasi menentang pencerobohan oleh Tentera Diraja Sulu di Tanduo. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!