KUALA LUMPUR, 20 Sept –Penubuhan parti mewakili bekas tentera antara intipati Seminar Persidangan NGO Sekreteriat Veteran Bertindak yang berlangsung, semalam.
Presiden Sekretariat Kebajikan Rangkaian Bekas Angkatan Tentera (KERABAT), Leftenan Kolonel (Bersara) Mohd Nazari Mokhtar berkata, nasib para veteran tentera perlu diperjuangkan dengan lebih serius dan diwakili oleh seorang wakil veteran di Parlimen.
Menurut beliau, terdapat cadangan dari para veteran untuk menubuhkan parti yang khusus untuk mewakili para veteran tentera.
“Cadangan penubuhan parti pernah dibuat dan sudah tentu saya antara orang yang pertama akan menyokong usaha ini,
“Apa salahnya kita cadangkan seorang veteran yang vokal untuk bertanding serta mewakili bekas tentera di peringkat Parlimen,” katanya semasa sesi dialog persidangan yang diadakan di Dewan Seminar Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru, Kuala Lumpur.
Persidangan yang berlangsung selama sehari ini diadakan bagi membincangkan isu-isu yang berbangkit dengan kebajikan veteran ATM.
Sementara itu, Setiausaha Sekretariat Veteran Bertindak, Mejar (B) Razali Zakaria yang ditemui pemberita selepas seminar berkata, usul tersebut masih dibincangkan oleh semua ahli panel dalam satu mesyuarat tertutup yang diadakan kelak. – airtimes.my