Home Pertahanan dan Keselamatan RM450 ribu peruntukan baiki rumah tentera di Kota Belud

RM450 ribu peruntukan baiki rumah tentera di Kota Belud

by Nurulhuda

KOTA KINABALU, 18 Sept – Kementerian Pertahanan memperuntukkan RM450,000 untuk membaiki dan menyelenggara kerosakan serta prasarana bagi Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) di Briged Kelima Infantri Malaysia (5 Briged), Kota Belud, Sabah.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pembaikkan tersebut termasuklah penyelenggaraan taman permainan kanak-kanak, aktiviti BAKAT, pembinaan garaj kenderaan di RKAT, penurapan semula jalan di kawasan Markas 5 Briged serta beberapa pembaikan lagi.

“Perancangan pembangunan kem yang telah diluluskan oleh kerajaan seperti pembinaan 636 unit RKAT, penempatan Batalion Infantri (Mekanise) dan Rejimen Armor di Kota Belud yang juga kini dalam proses tender,” katanya.

Ismail Sabri berkata demikian ketika melakukan lawatan kerja ke Kem Paradise, Kota Belud, dan Pangkalan Tentera laut Diraja Malaysia (TLDM), Kota Kinabalu, Sabah, semalam.

Kem Paradise adalah yang ke-14 dalam siri lawatan beliau ke kem tentera di seluruh negara yang sepatutnya telah dilakukan tetapi tertangguh akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Muez Abd Aziz, Panglima Tentera Darat, Tan Seri Zamrose Mohd Zain dan Panglima Medan Timur Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Mohd Zakaria Yadi.

Dalam masa yang sama, beliau turut mengucapkan terima kasih kepada semua warga TDM terutamanya di Sabah yang bersemangat tinggi melaksanakan tugas dan operasi demi kedaulatan tanah air dari sebarang ancaman dari dalam mahupun luar negara.- airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!