Home Pertahanan dan Keselamatan 88 PATI, 4 tekong ditahan dalam Operasi Benteng

88 PATI, 4 tekong ditahan dalam Operasi Benteng

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 18 Sept – Seramai 88 pendatang asing tanpa izin (PATI), 4 tekong dan seorang penyeludup ditahan dalam Operasi Benteng (Op Benteng) yang dijalankan di seluruh negeri, semalam.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, operasi bersepadu itu turut berjaya merampas 8 kenderaan darat semasa serbuan dilakukan.

Beliau menjelaskan, sebanyak 82 sekatan jalan raya (SJR) Op Benteng telah dilaksanakan semalam, yang melibatkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) (60 SJR), Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) (10 SJR) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) melakukan 12 SJR.

“Op Benteng yang melibatkan ATM, PDRM, Agensi Penguatkuasaan Malaysia (APMM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), AKSEM dan agensi-agensi lain ditugaskan untuk mengawal ketat sempadan negara secara bersepadu dari dibolosi Pendatang PATI bagi mengekang jenayah rentas sempadan,

“Selain itu, operasi bersepadu ini juga adalah untuk mengekang penularan wabak COVID-19 di dalam negara,

“Kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba memasuki sempadan negara secara haram dan agensi-agensi penguatkuasa akan terus mengetatkan kawalan kawasan sempadan terutamanya di lorong-lorong tikus,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sementara itu, bagi Operasi Pematuhan Task Force pula, seramai 101 individu telah ditahan oleh pihak polis atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Khamis (17 September 2020).

“Daripada jumlah itu, seramai 86 individu telah dikompaun manakala 15 individu direman,

“Antara kesalahan ingkar arahan PKP termasuk tidak memakai pelitup muka (26), ingkar perintah PKPD (24), penjarakan fizikal (19), gagal menyediakan peralatan/merekod butiran diri (13), tangkapan pendatang asing tanpa izin (10), aktiviti dalam pub/kelab malam (6), dan premis beroperasi lebih masa (3),” tambahnya. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!