KUALA LUMPUR, 16 Sept – Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini menzahirkan ucapan selamat menyambut Hari Angkatan Tentera Malaysia ke-87 kepada seluruh warga angkatan tentera termasuk veteran serta semua yang pernah berkhidmat bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Baginda turut menzahirkan setinggi penghargaan kepada anggota ATM, terutama mereka yang bertugas di barisan hadapan yang bertungkus lumus mengorbankan masa dan tenaga dalam membantu kerajaan membendung penularan wabak COVID-19 sejak awal tahun ini.
“Selaku pemerintah tertinggi ATM, Seri Paduka Baginda amat menyanjung tinggi dan merakamkan setinggi penghargaan di atas jasa, khidmat bakti dan pergorbanan yang dicurahkan oleh seluruh warga dan bekas anggota Angkatan Tentera Malaysia dalam melindungi kedaulatan dan keselamatan negara yang kita cintai bersama ini,
“Semoga ATM terus menjadi sebuah angkatan yang disegani dan dihormati di persada antarabangsa,” titah Baginda melalui hantaran yang dimuat naik dalam akaun Facebook Istana Negara, hari ini.-airtimes.my