KUALA LUMPUR, 15 Sept – Tiada keperluan bagi kerajaan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Tawau dan Lahad Datu, Sabah walaupun terdapat peningkatan kes positif di kawasan berkenaan.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan itu dibuat selepas mendengar taklimat terperinci oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengenai situasi di 2 daerah di Sabah ini.
Beliau berkata, KKM telah menjelaskan keadaan di 2 daerah itu masih terkawal berikutan hampir kesemua yang dikesan merupakan banduan di penjara Tawau dan Lahad Datu.
“Sehingga 14 September 2020, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah menyaring 3,981 individu di Tawau dan 1,421 Lahad Datu,
“Daripada jumlah itu, seramai 331 kes positif direkodkan di Tawau dan 89 kes positif di Lahad Datu,
“Sebanyak 331 kes positif di Tawau, 305 kes daripadanya merupakan banduan manakala daripada 89 kes positif di Lahad Datu pula 86 daripda kes tersebut merupakan OKT di Lokap,
“Jika dilaksanakan PKPD jumlah ini agak besar untuk mengawal pergerakan dan aktiviti harian mereka, kita hanya akan melakukan PKPD secara pentadbiran berdasarkan lokaliti dan kenal pasti kawasan yang berlaku peningkatan kes mendadak,”katanya dalam sidang media harian perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), hari ini.
Ismail Sabri berkata, KKM juga akan membuat saringan secara bersasar yang melibatkan 25,000 individu di Tawau dan 13,000 individu di Lahad Datu.
“KKM juga telah mengenal pasti lokasi-lokasi yang terlibat dengan Kluster Benteng Lahad Datu dan Kluster Laut membabitkan Mukim Sri Tanjung (7 lokasi), Mukim Wallace Bay (1 lokas) dan Mukim Merotai (6 lokasi),
“Selepas semua saringan dilakukan, KKM akan buat penilaian sama ada kawasan terbabit perlu dilakukan PKPD secara pentadbiran atau tidak dan akan mengumumkannya kemudian,” ujarnya.
Menurutnya, Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan KKM juga telah mengenal pasti pusat kuarantin khas yang akan digunakan sama seperti Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah di MAEPS, Serdang.
“Satu blok di Penjara Tawau dan satu dewan masyarakat di Lahad Datu dikenal pasti sebagai pusat kuarantin berisiko rendah,
“Kita akan segerakan pusat kuarantin khas ini dalam waktu terdekat, ia sedang dalam tindakan,” tambahnya. – airtimes.my