PUTRAJAYA, 15 Sept – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini mengesahkan hanya 18 orang pekebun haram Raub dipanggil untuk siasatan.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada hari ini, SPRM turut menjelaskan kesemua pekebun terbabit telah dipanggil dan dirakam percakapan untuk membantu siasatan.
“Bukannya 30 atau 50 pekebun yang disiasat seperti dakwaan pihak tertentu,” katanya.
Menurut kenyataan itu lagi, SPRM menegaskan pihak mereka melakukan siasatan mengikut lunas undang-undang dan bebas dari sebarang desakan oleh mana-mana pihak.
Pada masa yang sama, SPRM turut mengesahkan tiada tangkapan dibuat berhubung isu tersebut, setakat ini. Namun, pihak yang terlibat akan terus dipanggil dari masa ke semasa
“SPRM akan terus memanggil pihak berkaitan untuk membantu siasatan kes ini dari masa ke semasa,” ujarnya.
Selain itu, pihak SPRM turut menggesa mana-mana pihak untuk berhenti bermain spekulasi agar tidak menganggu proses siasatan – airtimes.my