PUTRAJAYA, 15 Sept – Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini menegaskan kerajaan akan mengambil tindakan yang lebih tegas dalam membendung penularan wabak COVID-19 di dalam negara.
“Tindakan tegas perlu diambil untuk melindungi rakyat dan negara kita daripada wabak yang mengancam nyawa ini,
“Kita perlu mengimbangi antara keperluan untuk melindungi nyawa dan kehidupan rakyat Malaysia,” katanya semasa Perutusan Khas Situasi Semasa COVID-19.
Menurut beliau, kerajaan turut tidak bercadang untuk membuka pintu pada ketika ini berikutan senario kes COVID-19 di peringkat global.
“Sempadan negara kita masih ditutup kecuali untuk tujuan perniagaan termasuk pelaburan dan pendidikan dengan syarat-syarat pematuhan SOP tertentu yang ketat,
“Kawalan sempadan negara kita akan terus diperketatkan termasuk meningkatkan usaha menghalang kemasukan pendatang asing tanpa izin,” ujarnya.
Terdahulu, beliau menyatakan terdapat 1,017 kes jangkitan COVID-19 untuk tempoh 3 April sehingga 15 September 2020.
Selain itu, Muhyiddin turut menegaskan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan akan dilaksanakan di mana-mana kawasan yang mencatatkan peningkatan kes yang tinggi.
Ini berikutan peningkatan kes jangkitan yang ketara dalam tempoh 14 hari.
“Sebanyak 615 kes baharu telah dicatatkan dalam masa 2 minggu,” ujarnya.
Sehingga kini, bilangan kes jangkitan COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 9,969 kes. Seramai 9,09 pesakit telah diisytiharkan pulih dan seramai 128 orang maut akibat wabak itu. – airtimes.my