KOTA TINGGI, 13 Sept – Hasrat 25 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia untuk lolos masuk dan keluar dari Malaysia punah, selepas mereka diberkas sepasukan anggota dari Batalion Pertama Rejimen Renjer Diraja (1 RRD), pagi tadi.
Penahanan kesemua PATI tersebut dibuat melalui 3 siri tangkapan yang berasingan di sektor Operasi Benteng kawasan tanggungjawab Briged Ketujuh Infantri Malaysia (7 Briged) di Pantai Padang Mulud, Bandar Penawar, Johor.
Markas Divisyen Ketiga Infantri Malaysia (MK 3 Div) dalam kenyataan berkata, kesemua PATI yang ditahan terdiri daripada 13 lelaki dan 12 perempuan berusia dalam lingkungan 21 hingga 57 tahun.
“Pada 13 Sep 20 sekitar jam 01.00 pagi, anggota Petugas Pos Pemerhati telah membuat serbuan setelah melihat sebuah bot kecil sedang merapati pesisir pada jarak 400 meter dari pantai,
“Hasil serbuan telah berjaya menangkap 9 PATI warga Indonesia yang sedang bersembunyi di dalam semak dipercayai sedang menunggu untuk menaiki bot pulang ke Indonesia. Walau bagaimanapun, bot tersebut terus beredar dari lokasi tersebut,
“Pada jam 02.30 pagi, Kumpulan Quick Reaction Force (QRF) yang turut digerakkan menjejaki saki baki PATI berdasarkan pengesanan tapak kaki telah berjaya menangkap seorang PATI yang melarikan diri dan bersembunyi di hutan pada jarak 1 kilometer dari lokasi serbuan,
“Manakala, pada jam 07.30 pagi, anggota Petugas Pos Pemerhati telah berjaya menangkap 4 PATI warga Indonesia lagi yang baru masuk ke Malaysia,
“Pada jam 10.00 pagi, kumpulan QRF pula berjaya menangkap 11 lagi PATI yang bersembunyi di kawasan hutan pada jarak 800 meter dari lokasi serbuan yang juga merupakan PATI yang baru masuk ke Malaysia,”katanya dalam kenyataan pada hari ini.
Menurut kenyataan itu, anggota pasukan turut merampas barangan peribadi dianggarkan berjumlah RM 28,489.40 yang melibatkan wang tunai tunai berjumlah RM 8,600.00 dan mata wang Indonesia 19,487.025 (RM 5,459.40) serta 30 buah telefon bimbit.
“Kesemua PATI telah di bawa ke Markas Taktikal Tanjung Sepang untuk dibuat pemeriksaan dan saringan COVID-19 sebelum diserahkan kepada pihak Jabatan Imigresen Malaysia,” tambahnya. –airtimes.my