SUNGAI BESAR, 13 Sept – Sekumpulan 20 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia yang cuba menyusup masuk ke negara ini melalui jalan laut gagal, apabila ditahan di Sungai Nipah, Haji Dorani, Sungai Besar Selangor, semalam.
Kesemua mereka terdiri daripada 13 lelaki dan 7 wanita berusia dalam lingkungan 21 hingga 41 tahun dikesan dan ditahan oleh Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 4, Semenyih dalam Operasi Benteng di kawasan tanggungjawab Op Nyah Selangor.
Pegawai Pemerintah Batalion 4 Semenyih, Superintendan Zulafendy Hassan dalam kenyataan berkata, hasil siasatan mendapati kesemua individu tersebut baru tiba dari Indonesia dan masuk ke negara ini melalui jalan yang tidak diwartakan (jalan laut) dengan menggunakan bot seterusnya mendarat di persisir Sungai Nipah.
“Kesemua mereka dibawa ke Balai Polis Sungai Besar untuk tindakan lanjut di bawah Akta Imigresen 1959 dan seterusnya menjalani ujian saringan COVID-19 di Hospital Tengku Ampuan Jemaah (HTAJ), Sabak Bernam,” tambahnya.
Beliau turut menyeru masyarakat setempat untuk memberi kerjasama dengan menyalurkan sebarang maklumat berkaitan aktiviti-aktiviti yang menyalahi undang-undang kepada pihak berkuasa. – airtimes.my