KOTA TINGGI, 10 Sep – Seramai 13 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia berjaya ditahan dalam Operasi Benteng (Op Benteng) di perairan Kompleks Rakan Muda, Bandar Penawar, Johor oleh pasukan Batalion Pertama Rejimen Renjer Diraja Malaysia (1 RRD), semalam.
Markas Divisyen Ketiga Infantri Malaysia (MK 3 Div) dalam satu kenyataan berkata, tangkapan tersebut adalah hasil laporan anggota dari Pos Pemerhati yang telah mengesan pergerakan bot pada jarak 600 meter sedang berlegar-legar di perairan negara pada jam 09.30 malam tadi.
“Sejurus kemudian, Tim Quick Reaction Force (QRF) telah digerakkan dan melihat individu sedang menyuluh lampu di pinggir hutan pada jarak lebih kurang 100 meter dari kedudukan Pos Pemerhati,
“Anggota petugas bertindak merapati ke arah cahaya tersebut dan pada masa yang sama juga kelihatan cahaya lampu suluh dari arah bot,
“Serbuan telah dilakukan ke atas kumpulan tersebut setelah mengesan kedudukan kumpulan yang disyaki PATI sedang bersembunyi di kawasan hutan sementara menunggu bot. Pada masa yang sama, bot tersebut telah bergegas beredar ke tengah laut,” katanya.
Menurut kenyataan itu, anggota 1 RRD telah berjaya menangkap seramai 8 lelaki dan 5 perempuan PATI warga Indonesia yang ingin pulang ke negara asal mereka.
“Turut dirampas wang tunai RM 15,318 dan mata wang Indonesia, 12,700.00 (RM 4,587.00) serta 18 buah telefon bimbit yang dianggarkan bernilai RM 12,700.00 serta jumlah keseluruhan berjumlah RM 31,605.00,
“Kesemua PATI telah di bawa ke Markas Taktikal Tanjung Sepang untuk dibuat pemeriksaan sebelum diserahkan kepada pihak Jabatan Imigresen Malaysia,” tambahnya.-airtimes.my