Home Pertahanan dan Keselamatan Op Benteng: Polis Marin berkas 7 PATI Indonesia ceroboh perairan negara

Op Benteng: Polis Marin berkas 7 PATI Indonesia ceroboh perairan negara

by Air Times News Network

TAWAU, 10 Sept – Pasukan Polis Marin (PPM) Tawau berjaya memberkas 7 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia selepas didapati menceroboh perairan negara menerusi Operasi Benteng di pantai Kampung Hidayat semalam.

Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Wilayah 4 Tawau, Deputi Superintendan Mohd Nazari Ismail berkata, bertindak atas maklumat risikan menerusi Operasi Gelora Khas, anggotanya telah membuat serbuan di sebuah kebun persisir pantai berkenaan pada jam 9.30 malam.

“Serbuan itu telah berjaya menahan 6 lelaki berumur 16 hingga 67 tahun dan seorang perempuan berumur 45 tahun,

“Kesemua mereka dipercayai baru tiba di kawasan berkenaan dan sedang menunggu pengangkutan untuk ke lokasi seterusnya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Nazari, siasatan awal mendapati seorang lelaki dan perempuan dari kumpulan berkenaan memiliki passport perjalanan yang sah.

“Walaubagaimanapun, kesemua mereka ditahan kerana kesalahan tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah dan memasuki negera ini dengan cara tidak sah,

“Mereka kemudiannya ditahan dan dibawa ke pangkalan Markas Operasi PPM Tawau untuk pemeriksaan dan tindakan lanjut,

“Kes akan disiasat mengikut Seksyen 6(3) Akta Imigresen 1959/63 dan jika sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih daripada RM10,000.00 atau penjara tidak lebih 5 tahun atau kedua-duanya sekali dan boleh dikenakan tidak lebih daripada 6 kali sebatan.

Dalam pada itu, PPM meminta kerjasama orang ramai agar sentiasa menyalurkan sebarang maklumat terutama melibatkan kehadiran PATI kepada PPM Wilayah 4 Sabah melalui aplikasi WhatsApp di nombor 013-2831197. – airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!