KUALA LUMPUR, 7 Sept – Sebanyak 948 kawasan atau 73.3 peratus daripada 1,292 kawasan yang terlibat dengan gangguan bekalan air tidak berjadual sejak 3 Setember lalu kini pulih sepenuhnya.
Ketua Koperasi Korporat, Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) Elina Baseri dalam kenyataan berkata, baki 344 kawasan yang terjejas masih lagi dalam proses pemulihan.
Elina berkata, kawasan Hulu Selangor adalah kawasan pertama yang mencatatkan pemulihan sepenuhnya (100 peratus), diikuti Kuala Selangor (99.25 peratus); Petaling (91.78 peratus); Gombak (72.99 peratus); Kuala Langat (50 peratus); Kuala Lumpur (47.37 peratus); dan Klang/Shah Alam (38.42 peratus).
“Sebanyak 71 kawasan dalam kumpulan 1 yang sepatutnya pulih sepenuhnya pada 12 tengah malam tadi masih belum pulih disebabkan penyimpanan air berlebihan oleh pengguna yang mula menerima bekalan air,
“Air Selangor sedang mengambil tindakan untuk menstabilkan sistem agihan bagi memulihkan kawasan-kawasan ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau turut menasihatkan pengguna supaya tidak menyimpan dan menggunakan air berlebihan bagi memastikan proses pemulihan di kawasan yang masih terjejas berjalan lancar dan mengikut jadual pelan pemulihan Air Selangor.
“Para pengguna dinasihatkan untuk mendapatkan maklumat rasmi melalui hebahan rasmi atau saluran interaksi Air Selangor dan tidak menyebarkan berita tidak sahih berhubung gangguan ini,” tambahnya.
Bekalan air di Kuala Lumpur dan beberapa kawasan di Selangor terjejas sejak Khamis lalu ekoran pencemaran sumber air mentah di Sungai Selangor.
Gangguan bekalan air itu berlaku selepas 4 Loji Rawatan Air (LRA) Rantau Panjang, Sungai Selangor Fasa 1, 2 dan 3 dihenti bertugas akibat pencemaran tersebut.
Gangguan air tidak berjadual itu telah menyebabkan pengguna di 7 wilayah di Selangor dan Kuala Lumpur menghadapi masalah bekalan air. – airtimes.my