JAKARTA, 7 Sept – Menteri Pertahanan Austria, Klaudia Tanner ingin meneruskan proses penjualan 15 buah jet pejuang Typhoon milik negaranya.
Dalam surat yang dihantar ke rakan sejawatannya di Indonesia, Prabowo Subianton, Klaudia menjelaskan pihaknya gembira menerima pelawaan Jakarta dan akan mengkaji cadangan penjualan tersebut.
Sementara itu, media Austria, Kronen Zeitung pada Ahad lalu mengesahkan hasrat Austria untuk melupuskan 15 Eurofighter Typhoon.
“Pihak kami telah memaklumkan kepada Indonesia bahawa langkah penjualan aset akan dikaji secara mendalam dengan perbincangan bersama semua pihak,
“Ini adalah tanggungjawab kami kepada semua pembayar cukai dan juga pelupusan Typhoon adalah matlamat utama kami,” kata Klaudia dipetik Kronen Zeitung.
Walaupun begitu, beliau turut membayangkan terdapat beberapa halangan yang perlu ditempuhi oleh pihaknya sebelum penjualan dapat diteruskan.
“Penjualan pesawat ini adalah sukar kerana terdapat beberapa prosedur perlu dipatuhi,” jelasnya.
Austria mula mengoperasikan Eurofighter Typhoon semenjak 2007 dan dilaporkan telah mencapai satu per tiga dari jangka hayatnya.
Pada Julai lalu, Indonesia telah menghantar surat kepada Austria bagi menyatakan minat untuk membeli kesemua 15 jet pejuang tersebut.
Negara Eropah itu ingin menamatkan perkhidmatan Eurofighter Typhoon kerana kos operasinya yang tinggi iaitu 80 ribu euro sejam dan lebih 100 juta euro setahun. – airtimes.my