Home Pertahanan dan Keselamatan APMM tahan kapal tangki berlabuh tanpa kebenaran

APMM tahan kapal tangki berlabuh tanpa kebenaran

by Nurulhuda

Kota Tinggi, 7 Sept – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Tanjung Sedili, menahan sebuah kapal tangki kerana berlabuh tanpa kebenaran di kedudukan lebih kurang 12.5 batu nautika timur Tanjung Siang, Kota Tinggi,  semalam.

Pengarah Zon Maritim Tanjung Sedili, Kepten Maritim Mohd Zulfadli Nayan berkata, kapal tangki yang berdaftar di Ulaanbaatar, Mongolia itu dikesan dan ditahan pada jam 11.35 pagi, Ahad oleh kapal ronda APMM yang sedang membuat  rondaan di kawassan berkenaan.

Zulfadli berkata hasil pemeriksaan ke atas kapal tangki tersebut, mendapati ia dikendalikan oleh seorang nakhoda dan 6 kru yang semuanya warga Indonesia berumur lingkungan 24 hingga 50 tahun.

“Kapal yang berdaftar di Ulaanbaatar, Mongolia ini telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 491B(1)(l) OPS 1952 kerana berlabuh tunggu tanpa kebenaran Pengarah Laut. Jika disabitkan kesalahan ini boleh dikenakan denda tidak kurang RM 20 ribu dan tidak lebih RM 100 ribu “, katanya dalam hantaran di Facebook rasmi APMM, hari ini.

Beliau menjelaskan, kesemua mereka ditahan, manakala nakhoda dan seorang kru dibawa ke pejabat Zon Maritim Tanjung Sedili untuk siasatan lanjut.

“APMM sentiasa memandang serius ke atas pematuhan undang-undang dan tindakan sewajarnya akan diambil demi memastikan kesejahteraan perairan negara khususnya di Johor Timur,

“APMM akan terus mempertingkatkan kawalan keselamatan serta tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang melanggar undang-undang dan akan mengambil tindakan yang sewajarnya demi memastikan kesejahteraan perairan negara,” ujarnya.

Pada masa yang sama, Zulfadli menasihatkan agar pemilik kapal supaya memohon kebenaran terlebih dahulu daripada Jabatan Laut Malaysia (JLM) sebelum melabuhkan sauh atau menjalankan apa-apa aktiviti di Luar Had Pelabuhan. –airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!