Home Pertahanan dan Keselamatan Kerajaan perlu gubal Akta Veteran supaya kami dapat tanah yang dijanjikan – Azizan Memali

Kerajaan perlu gubal Akta Veteran supaya kami dapat tanah yang dijanjikan – Azizan Memali

by Nurulhuda

RAUB, 3 Sept – Seramai lebih 100 orang wakil dari 120 persatuan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah Raub bagi membuat laporan polis berhubung isu pencerobohan tanah.

Presiden Gerakan Reformasi Veteran Angkatan Tentera Malaysia (GRVATM), Azizan Salleh menggesa dan mendesak Kementerian Pertahanan menganugerahkan tanah kepada bekas-bekas tentera sebagai mana yang termaktub dalam Perintah Majlis Angkatan Tentera 1973 (PMAT 1973).

Azizan Salleh yang juga dikenali sebagai Azizan Memali berkata kerajaan juga perlu mengubal Akta 740 Veteran dengan menawarkan keistimewaan perolehan 1 bidang tanah lot perumahan dan 10 ekar tanah pertanian di seluruh Malaysia kepada veteran dan balu-balu anggota ATM.

“Saya menyeru kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk melihat kami anggota tentera, polis dan sebagainya yang telah berusaha serta ada yang terkorban semasa mempertahankan tanah air,” katanya selepas membuat laporan polsi di IPD Raub, pagi tadi.

Beliau yang mengetuai Seketeriat Veteran Bantah Ladang Haram di Raub turut menyerahkan Tuntutan Veteran tentera kepada Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail di pejabatnya hari ini.

Antara tuntutan Seketeriat tersebut adalah mendesak kerajaan supaya segera bertindak mengikut Akta Perhutanan Negara 1984 (Pindaan 1993) ke atas pemilik ladang haram di daerah Raub yang telah lama mengaut hasil haram tanah kerajaan tanpa membayar cukai.

“Kami menggesa kerajaan menggantikan Rizab Melayu berjumlah 3 juta hektar pada tahun 1957 kini berkurangan kepada 1.7 juta hektar (1995),” tambahnya.

Selain itu, beliau turut menyarankan Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM (JHEV ATM) untuk memperbaiki sistem yang sedia ada bagi menjaga kebajikan para veteran, balu serta anak-anak mereka yang masih ada,

“JHEV perlu lihat pada sudut yang lebih jauh dengan melihat bagaimana mereka (bekas tentera) yang masih sihat ini menjalankan kehidupan seharian. Ia perlu dilihat secara keseluruhan, kita tidak mahu melihat JHEV sebagai Jabatan Kebajikan Masyarakat sahaja,

“Kami juga sarankan agar JHEV ATM dijadikan sebagai sebuah kementerian dan ia akan diuruskan sepenuhnya oleh veteran sendiri yang lebih mengetahui permasalahan golongan veteran,

“Kita akan bawa masalah ini sehingga berjaya, kita tidak ada kepentingan dengan mana-mana pihak. Ini soal maruah veteran ATM keseluruhanya,”jelasnya.

Sementara itu, Presiden Pertubuhan Martabat Jalinan Muhibbah Malaysia (MJMM), Rani Kulup menegaskan bahawa isu tanah ini perlu diselesaikan dengan segera untuk menjaga kebajikan golongan veteran ini.

Presiden Persatuan MJMM, Rani Kulup bersama veteran angkatan tentera selepas membuat laporan polis di IPD Raub.

“Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan kerajaan negeri perlu tegas dan ambil tindakan segera. Halau mereka semua daripada tanah yang diceroboh. Jangan buat rundingan lagi,” tegasnya lagi.-airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!