Home Semasa Rais Yatim dilantik Yang Dipertua Dewan Negara baharu

Rais Yatim dilantik Yang Dipertua Dewan Negara baharu

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 2 Sep – Pengerusi Badan Pimpinan Bersatu Negeri Sembilan, Senator Tan Sri Dr Rais Yatim dilantik sebagai Yang Dipertua Dewan Negara ke-18 hari ini.

Timbalan Yang Dipertua Dewan Negara, Datuk Seri Abd Halim Abd Samad mengumumkan pelantikan Dr Rais setelah mendapat undi tertinggi dalam persidangan Dewan Negara hari ini.

“Keputusan undi adalah seperti berikut, Yang Berhormat (YB) Senator Tan Sri Dr Rais Yatim mendapat 45 undi, YB Mohd Yusmadi Mohd Yussof mendapat 19 undi, jumlahnya 64 orang dengan seorang tidak hadir,

“Ahli-ahli YB, maka menurut peraturan mesyuarat 2(3) saya dengan ini memashyurkan bahawa YB Senator Tan Sri Dr Rais Yatim dipilih menjadi tuan Yang Dipertua Dewan Negara,” kata Abd Halim.

Pelantikan itu bagi menggantikan Tan Sri S.A.Vigneswaran yang telah tamat perkhidmatan pada 22 Jun lalu.

Pengundian untuk memilih Yang Dipertua Dewan Negara dibuat kerana terdapat lebih satu nama yang dikemukakan.

Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Takiyuddin Hassan mengemukakan usul bagi pihak kerajaan.

Beliau membawa usul oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi mencalonkan Dr Rais.

Manakala, Senator Dr Ahmad Azam Hamzah pula mencadangkan Mohd Yusmadi sebagai calon.

Selepas pemilihan Yang Dipertuan Dewan Negara, turut diadakan majlis angkat sumpah 4 ahli Dewan Negara yang baharu iaitu, Datuk Seri S. Vell Paari (lantikan Yang di-Pertuan Agong); Mohd Apandi Mohamad (lantikan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan); Ahmad Yahaya dan Datuk Wira Othman Aziz (lantikan DUN Kedah).

Persidangan Dewan Negara yang bersidang bermula hari ini sehingga 23 September 2020. – airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!