Home Semasa Ingkar PKPP: PBT sertai polis serbu kelab malam, tarik lesen operasi

Ingkar PKPP: PBT sertai polis serbu kelab malam, tarik lesen operasi

by Nurulhuda

PUTRAJAYA, 1 Sept – Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan bekerjasama dengan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) ketika membuat serbuan di pusat hiburan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dilaksanakan.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kuasa pihak polis hanya terhad kepada menahan individu dan pengusaha premis sahaja, namun dengan penyertaan PBT, tindakan penutupan premis boleh dilakukan dengan segera.

Beliau berkata demikian selepas 600 individu dikenakan kompaun kerana terlibat dengan aktiviti di kelab malam, yang sepatutnya masih lagi belum dibenarkan beroperasi.

“PDRM hari ini membuat keputusan jika ada serbuan atau pemeriksaan mengejut di pusat hiburan, mereka akan membawa sekali pegawai PBT supaya tindakan lebih tegas dapat diberikan kepada pemilik premis,

“Jika ada tangkapan diadakan, dan pihak PBT tidak ikut bersama, senarai nama premis akan dihantar ke PBT kerana PBT yang berkuasa menutup premis perniagaan di setiap kawasan. Bukan kuasa polis. Polis hanya boleh memberikan kompaun, tetapi untuk menarik lesen perniagaan dan sebagainya adalah dibawah kuasa PBT,

“Melihat kepada jumlah tidak kepatuhan yang begitu tinggi, maka PBT diminta untuk membantu polis mengambil tindakan yang lebih tegas, termasuklah menutup pusat perniagaan tersebut,

“Sehingga kini kelab malam atau pub masih belum dibenarkan beropersi. Masih dalam senarai negatif,

“Jadi tindakan membuka kelab malam atau pub adalah melanggar SOP dan akta kerana ia masih dalam senarai operasi yang belum dibenarkan,” katanya dalam sidang media mengenai perkembangan PKPP, hari ini.

Terdahulu, Ismail Sabri telah mengesahkan seramai 778 individu ditahan kerana ingkar PKPP, semalam dan ia menunjukkan jumlah yang tertinggi sejak dilaksanakan PKPP.

“Daripada jumlah itu, seramai 673 individu telah dikenakan kompaun, manakala 98 individu direman dan 7 lagi dijamin,

“Aktiviti kelab malam merekodkan jumlah yang dikompaun tertinggi iaitu 600 individu, diikuti penjarakan sosial (127) dan gagal merekod butiran pelanggan (14),

“Ini menunjukkan bahawa keingkaran bertambah, mungkin rakyat telah merasakan bahawa PKPP sudah tidak ada prosedur operasi standard yang perlu dipatuhi sebab itu ramai yang dikenakan kompaun,” tambahnya.- airimes.my

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!