Home Pertahanan dan KeselamatanTentera Udara ‘Tools Down Day’ perkasa budaya kerja TUDM

‘Tools Down Day’ perkasa budaya kerja TUDM

by Nurulhuda

SUBANG, 26 Ogos – Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) telah memperkenalkan Program ‘Tools Down Day’ 2020 bagi memperkasakan budaya kerja berteraskan keselamatan di kalangan warga TUDM.

Sepanjang pelaksanaan program ‘Tools Down Day’, semua operasi penerbangan dan darat akan dihentikan bagi memberi laluan kepada pangkalan/unit untuk melaksanakan kempen keselamatan dengan penglibatan secara maksimum warga TUDM.

Tools Down Day ini merupakan satu inisiatif pro-aktif bagi mengutarakan keprihatinan pucuk pimpinan tertinggi TUDM terhadap kemalangan aset-aset TUDM yang berkemungkinan turut berpunca daripada kecuaian manusia.

Program ini turut mendapat kerjasama dan penyertaan daripada agensi-agensi luar TUDM seperti Jabatan Kesihatan Negeri, Jabatan Pengangkutan Jalan, Agensi Anti Dadah Kebangsaan, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia serta lain-lain agensi yang berkaitan.

Program yang dilaksanakan secara serentak di seluruh pangkalan/unit TUDM dengan menggunakan pendekatan persidangan video (Video conference) ini telah dirasmikan oleh Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Ackbal Abdul Samad TUDM, di Pangkalan Udara Subang, hari ini.

Ackbal berharap pelaksanaan program ini dapat memupuk nilai kesedaran warga TUDM tentang pentingnya aspek keselamatan dalam kehidupan seharian.

Beliau juga berkata, program seperti ini perlu dijadikan sebagai salah satu medium nilai tambah kepada pengetahuan serta pendedahan kepada warga TUDM tentang pengamalan budaya keselamatan dalam tugas harian.

“Pengurusan dan pengoperasian TUDM yang lain juga perlu diteruskan dengan penekanan kepada “Safety Management System” (SMS) dan mengadaptasi beberapa pendekatan baharu seperti berinteraksi secara ‘Virtual’ atau ‘online’, menguatkuasa Prosedur Operasi Standard (SOP) kesihatan semasa bertugas, melakukan sanitasi di dalam pesawat dan beberapa pendekatan ‘new norm’ yang lain,

“Semua peringkat warga TUDM bertanggungjawab melaksanakan peranan masing-masing demi memastikan TUDM sentiasa bersiap sedia sebilang masa,” ujarnya.

Turut hadir, Timbalan Panglima Tentera Udara, Leftenan Jeneral Datuk Mohd Asghar Khan Goriman Khan TUDM dan pegawai kanan TUDM serta anggota TUDM. –airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!