Home Pertahanan dan Keselamatan Langgar syarat sah lesen, 3 PATI Indonesia ditahan APMM

Langgar syarat sah lesen, 3 PATI Indonesia ditahan APMM

by Nurulhuda

PELABUHAN KLANG, 25 Ogos – Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) Selangor telah menahan sebuah bot nelayan dan 3 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia ketika sedang menangkap ikan di kedudukan 2.2 batu nautika Barat Daya Sungai Hj. Durani, Selangor lebih kurang jam 9.15 malam, semalam.

Pengarah Maritim Negeri Selangor, Kepten Maritim Mohammad Rosli Kassim berkata, bot nelayan tempatan Kelas B1 itu ditahan kerana disyaki melanggar syarat sah lesen iaitu menunda kurang dari 8 batu nautika.

“Hasil pemeriksaan ke atas bot mendapati, 4 lelaki berada di atas bot berkenaan termasuk tekong. Tekong adalah warga tempatan manakala 3 lagi warga Indonesia yang tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya dalam hantaran di Facebook APMM, hari ini.

Menurut Rosli, mereka baru sahaja menurunkan pukat dalam beberapa minit sebelum bot peronda Maritim Malaysia tiba. Kesemua mereka berumur dalam lingkungan 22 hingga 28 tahun ditahan bersama ikan campur dalam anggaran 20 kilogram.

“Bot dan kesemua yang ditahan dibawa ke Jeti LKIM, Kuala Selangor untuk disiasat dibawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63,” tambahnya.

Beliau menegaskan APMM akan sentiasa membuat pemantauan dan rondaan dengan lebih kerap bagi membanteras kegiatan PATI di perairan Selangor.

Selain itu, pemantauan dan pengukuhan sempadan perairan negara akan dipertingkatkan khususnya melalui Op Benteng di bawah National Task Force (NTF) dalam mengekang kemasukan PATI serta penularan pandemik COVID-19 dan jenayah rentas semapdan. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!