KUALA LUMPUR, 24 Ogos – Seramai 205 individu yang terbabit dengan aktiviti pub atau kelab malam, antara 515 yang ditahan kerana ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), semalam.
Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, selain itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menahan 58 lagi individu yang melanggar prosedur operasi standard (SOP) PKPP dan 252 individu yang terbabit dengan aktiviti kehadiran orang awam yang menyukarkan penjarakan sosial.
“Pihak polis telah menahan 515 individu atas kesalahan ingkar arahan PKP. Daripada jumlah itu, seramai 440 individu telah dikompaun manakala 69 individu pula direman, manakala 6 lagi individu telah dijamin,” katanya dalam kenyataan mengenai perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), hari ini.
Ismail Sabri berkata, Pasukan Task Force Operasi Pematuhan yang diketuai PDRM juga telah melaksanakan sebanyak 58,185 pemeriksaan semalam untuk memantau dan menguatkuasa pematuhan SOP PKPP.
“Sebanyak 4,929 Pasukan Pematuhan yang melibatkan 16,863 anggota telah membuat pemantauan di 4,134 pasar raya, 5,083 restoran serta 1,370 penjaja, 1,651 kilang, 3,780 bank dan 853 pejabat kerajaan,
“Mereka juga membuat pemantauan di 1,074 terminal pengangkutan darat, 237 terminal pengangkutan air serta 104 terminal pengangkutan udara,” katanya.
Pada masa yang sama, beliau juga menjelaskan pihak polis telah mengadakan 53 sekatan jalan raya (SJR) Op Benteng semalam di seluruh negara.
“Sebanyak 29,777 kenderaan telah diperiksa bagi mengekang kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) terutamanya di lorong-lorong tikus dan tiada sebarang tangkapan dibuat semalam,” tambahnya.
Beliau juga menegaskan kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba memasuki sempadan negera secara haram.
“Agensi-agensi penguatkuasa akan terus mengetatkan kawalan kawasan sempadan terutamanya di lorong-lorong tikus,” ujarnya. -airtimes.my