Home Pertahanan dan Keselamatan Kementerian Pertahanan gagal kenakan denda lewat RM116.54 juta kepada syarikat pembekal kapal LCS

Kementerian Pertahanan gagal kenakan denda lewat RM116.54 juta kepada syarikat pembekal kapal LCS

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 24 Ogos – Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2019 mendapati Kementerian Pertahanan gagal mengenakan denda lewat (liquidated damages) sejumlah RM116.54 juta kepada syarikat pembekal atas kelewatan penyerahan enam Kapal Peronda Generasi Kedua 1 (Littoral Combatant Ship 1) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Ketua Audit Negara, Datuk Nik Azman Nik Abdul Majib mendedahkan perkara itu di dalam LKAN 2019 Siri 1 hari ini.

“Syarikat pembekal tersebut gagal menyerahkan kapal LCS 1 selama 245 hari dari tarikh sepatutnya diserahkan pada bulan April 2019,

“Bayaran kemajuan yang dibuat terhadap kapal LCS 1 adalah melebihi kemajuan kerja sebenar sebanyak 21.1 peratus,” katanya dalam pembentangan LKAN 2019 hari ini.

Menurutnya, semakan audit mendapati kelewatan penyerahan kapal LCS 1 selama 245 hari dari tarikh sepatutnya diserahkan menyebabkan denda lewat sejumlah RM116.54 juta perlu dikenakan kepada syarikat sehingga 31 Disember 2019.

“Sehingga 30 Jun 2020, walaupun kelewatan melepasi tempoh 12 bulan iaitu pada April 2020, Kementerian Pertahanan tidak mengeluarkan surat tuntutan kepada syarikat bagi menuntut denda lewat sebaliknya hanya mengeluarkan notis peringatan kepada syarikat pada 14 Jun 2019 atas kelewatan tersebut,” ujarnya.

Setakat 10 Jun 2020, bilangan hari kelewatan penyerahan kapal LCS 1 adalah 435 hari dengan nilai denda berjumlah RM217.50 juta.

Pada tahun 2019, perbelanjaan pembangunan bagi kelangkapan TLDM adalah sejumlah RM1.010 bilion.

“Daripada amauan tersebut, sejumlah RM492.21 juta atau 48.7 peratus dibelanjakan bagi perolehan 6 buah kapal LCS telah diberi kelulusan oleh Kementerian Kewangan untuk dilaksanakan secara rundingan terus dengan nilai kontrak berjumlah RM9 bilion,

“Tempoh kontrak bermula pada 3 Oktober 2013 sehingga 2 Oktober 2023. Tujuan perolehan ini bagi meningkatkan keupayaan TLDM bagi melaksanakan pelbagai operasi,” ujarnya.

Sebelum itu pada 2018, sejumlah RM762.68 juta atau 59.7 peratus daripada perbelanjaan pembangunan berjumlah RM1.278 bilion telah dibelanjakan bagi perolehan kapal LCS.

“Peratus perbelanjaan yang rendah pada 2019 adalah disebabkan prestasi kemajuan kerja sebenar kapal LCS tidak mencapai peratus kemajuan kerja seperti ditetapkan dalam perjanjian,” tegasnya dalam Pengauditan Pematuhan Kementerian dan Jabatan Persekutuan. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!