Home Semasa Tak salah keluarkan surat sokongan jika bukan untuk diri sendiri dan keluarga – SPRM

Tak salah keluarkan surat sokongan jika bukan untuk diri sendiri dan keluarga – SPRM

by M.Daim

KUALA LUMPUR, 23 Ogos – Ketua Persuruhjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Azam Bakri menegaskan penggunaan surat sokongan adalah tidak menyalahi undang-undang selagi bukan untuk kepentingan diri atau saudara-mara.

Beliau mengulas isu sokongan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kepada surat oleh Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Ikmal Hisham Abdul Aziz yang memohon anaknya dilantik sebagai salah seorang lembaga pengarah syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Menurut Azam yang dilaporkan oleh media tempatan, sokongan yang diberikan tidak menyalahi undang-undang kerana tidak mempunyai kaitan dengan Ismail Sabri dan ahli keluarganya.

“Adalah menjadi kesalahan sekiranya seorang kakitangan awam mempunyai kuasa dan beliau mengeluarkan surat sokongan kepada sesiapa demi kepentingan untuk dirinya sendiri,

“Perkara yang sama turut melibatkan surat sokongan yang dikeluarkan untuk kepentingan keluarga atau saudara-mara mereka,” kata Azam yang dipetik oleh Berita Harian.

Beliau menambah, kesalahan yang dilakukan boleh diambil tindakan mengikut Seksyen 21 Akta SPRM.

Terdahulu, tular salinan surat sokongan ditulis oleh Ikmal Hisham yang dikatakan meminta anaknya dilantik sebagai ahli lembaga pengarah Pharmaniaga.

Surat bertarikh 5 Jun 2020 itu ditujukan kepada Menteri Pertahanan dan mengandungi tulisan tangan Ismail Sabri yang diminitkan kepada Pengerusi LTAT dengan mengatakan beliau bersetuju cadangan itu.

Semalam, Menteri Pertahanan menegaskan bahawa sokongan yang diberikan tidak bermakna perkara tersebut perlu dipenuhi dan kuasa melantik adalah bergantung sepenuhnya kepada pihak syarikat.

Selain itu, Ikmal Hisham menjelaskan beliau kesal dan mengambil iktibar dari isu terbabit. Malah, beliau turut menulis surat untuk menarik balik cadangan pelantikan anaknya kepada Pengerusi Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) – airtimes.my

Related Articles

1 comment

Surat sokongan Timbalan Menteri Pertahanan ada unsur salah guna kuasa – Lim Guan Eng – Air Times News Network 1 September 2020 - 1:27 pm

[…] itu, Ketua Persuruhjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Azam Bakri menegaskan penggunaan surat sokongan adalah tidak menyalahi undang-undang selagi bukan untuk […]

Reply

Leave a Reply

error: Content is protected !!