Home Semasa Pindaan Akta FINAS dibincang bagi memperkasa industri kreatif negara

Pindaan Akta FINAS dibincang bagi memperkasa industri kreatif negara

by Bernama

PUTRAJAYA, 21 Ogos – Sesi perbincangan pertama berkenaan pindaan Akta Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia 1981 (Akta FINAS) (Akta 244) telah diadakan semalam dalam usaha memperkasakan ekosistem industri kreatif negara.

Perbincangan itu dipengerusikan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah dan turut dihadiri pegawai kementeriannya, FINAS, wakil pejabat Peguam Negara, peguam-peguam dan para pemegang taruh daripada industri.

Saifuddin berkata perbincangan itu bersetuju dengan dua perkara utama, iaitu yang pertama aliran kerja proses pemindaan yang melibatkan penentuan dasar, libat urus dengan para pemegang taruh antaranya kerajaan, industri, masyarakat sivil, akademik dan ahli Parlimen, serta perbandingan dengan undang-undang berkaitan di negara-negara lain.

Beliau berkata perkara kedua yang dipersetujui ialah penggubalan rang undang-undang pindaan itu akan melibatkan beberapa perkara utama iaitu kedudukan pengguna media sosial yang mengeluarkan bahan yang dikongsikan dalam platform tersebut, penambahbaikan peraturan sedia ada dan memberikan definisi baharu terhadap definisi sedia ada dalam Akta 244.

“Perbincangan kedua akan diadakan pada minggu pertama September ini bagi memperhalusi perkara-perkara yang telah dibincangkan hari ini. Saya yakin usaha ini akan membuahkan hasil dalam merealisasikan dan memperkasakan ekosistem industri kreatif negara,” katanya pada Khamis.- Bernama

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!