Home Semasa Gagal jadi tekong darat: Wanita tempatan ditahan bawa 3 PATI Bangladesh

Gagal jadi tekong darat: Wanita tempatan ditahan bawa 3 PATI Bangladesh

by Nurulhuda

JITRA, 21 Ogos – Seorang wanita tempatan ditahan bersama 3 pendatang asing tanpa izin warganegara Bangladesh dalam sekatan jalan raya (SJR) Operasi Benteng di Jalan Napoh, Changloon, Jitra, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Mohd Ismail Ibrahim berkata, hasil pemeriksaan, ketiga-tiga PATI yang ditahan itu tidak mempunyai dokumen perjalanan diri yang sah.

“Siasatan awal mendapati wanita tempatan yang juga pemandu teksi persendirian berumur 33 tahun itu dipercayai dalam perjalanan dari Sentul, Kuala Lumpur ke Keteri, Perlis,

“Turut berada dalam kenderaan tersebut 3 lelaki Bangladesh berusia dalam lingkungan 30 hingga 36 tahun yang tidak mempunyai sebarang pasport manakala kad permit kerja pula disyaki palsu,

“Mereka sudah berada di negara ini hampir 3 tahun dan pernah bekerja sebagai buruh binaan di Kuala Lumpur dan di kilang perabot di Sentul,”katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, wanita tersebut telah dihubungi seorang lelaki Bangladesh yang dikenalinya pada Rabu lalu untuk mengambil 3 lelaki berkenaan di Sentul, Kuala Lumpur dan menghantar ke Keteri dengan bayaran RM450 namun masih belum terima sebarang pembayaran.

“Tujuan mereka ke Keteri adalah untuk mencari pekerjaan dan pemandu teksi persendirian itu pula memaklumkan ini kali pertama dia berurusan dengan tiga lelaki Bangladesh tersebut,” katanya

Mohd Ismail berkata, kereta berwarna hitam jenis Vios yang digunakan turut dirampas dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kubang Pasu untuk tindakan lanjut.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana gagal mengemukakan sebarang dokumen perjalanan yang sah,

“Tiga lelaki Bangladesh itu akan disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” katanya,” tambahnya-airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!