Home Semasa COVID-19: Kluster Maju dikesan di Titiwangsa

COVID-19: Kluster Maju dikesan di Titiwangsa

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 21 Ogos – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan terdapat sebuah kluster baharu iaitu Kluster Maju yang dikesan di sebuah restoran di Titiwangsa, Kuala Lumpur.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata dua kes pertama bagi kluster tersebut iaitu kes 9,176 dan 9,177 yang telah dilaporkan pada 16 Ogos lalu.

“Mereka merupakan pekerja di restoran tersebut yang dikesan hasil saringan rawak ke atas pekerja restoran dan kedai makan yang telah dijalankan di sekitar Bandaraya Kuala Lumpur,

“Susulan itu, saringan kontak rapat telah dijalankan di mana kes baharu kluster ini yang merupakan pelanggan restoran tersebut telah dikesan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Dr Noor Hisham, mereka mengalami gejala sakit tekak dan sakit kepala sejak 17 Ogos 2020 dan telah dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh.

“Setakat ini, seramai 672 orang telah disaring, termasuk 16 pekerja dan 656 orang pelanggan,

“Daripada jumlah itu, 3 kes dikesan positif COVID-19 dan 669 individu negatif,” katanya.

Selain itu, Dr Noor Hisham berkata aktiviti pengesanan kes aktif dan saringan kontak rapat sedang diteruskan, serta melakukan langkah kawalan seperti proses nyah kuman di restoran berkenaan.

Mengenai Kluster Tawar di Kedah, terdapat 3 kes positif baharu dikesan menjadikan jumlah kes positif dari kluster itu sebanyak 58 kes.

“Sehingga 12 tengah hari ini, seramai 2,733 orang disaring iaitu 2,256 di Kedah, Pulau Pinang (466) dan Perak (11) dengan 249 masih menunggu keputusan.

Sementara itu, sebanyak 9 kes baharu COVID-19 dilaporkan dan menjadikan jumlah kes keseluruhan positif COVID-19 setakat ini adalah sebanyak 9,249 kes manakala jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan virus berkenaan sebanyak 179 kes.

“Daripada jumlah kes baharu dilaporkan, 4 kes adalah import yang telah mendapat jangkitan di luar negara melibatkan semua bukan warganegara, manakala 5 kes penularan dalam negara,” ujarnya. – airtimes.my

 

 

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!