KOTA BAHRU, 20 Ogos – Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV), Kelantan telah menyumbangkan barangan berupa bekalan susu untuk 3 bulan dan lampin pakai buang kepada seorang pesara tentera yang terlantar sakit di Kampung Pasir Pekan, semalam.
Sumbangan ini bertujuan untuk memberi semangat dan menjaga hal kebajikan veteran-veteran yang memerlukan serta sebagai tanda penghormatan bagi menghargai veteran yang telah banyak berbakti dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Markas Briged ke-8 Infantri Malaysia (MK 8 Briged) dalam kenyataan berkata, sumbangan serta lawatan kebajikan itu turut mendapat kerjasama daripada Persatuan Veteran Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Kelantan.
“Panglima 8 Briged, Brigedier Jeneral Zamsari Abu Hasan telah mengadakan lawatan kebajikan ke atas PW II Abdul Aziz Chu Hashim (Bersara) (TUDM) di kediaman beliau di Kampung Pasir Pekan, pada 19 Ogos 2020,
“Dalam lawatan tersebut, Panglima 8 Briged telah menyampaikan sumbangan yang berupa bekalan Susu Nutrien Diabetic selama 3 bulan yang bernilai RM98/tin sebanyak 30 tin,
“Dan bekalan lampin pakai buang secara one-off bernilai RM 600.00 serta bekalan makanan berupa keperluan dapur seperti beras, minyak, tepung dan sebagainya,” menurut hantaran di Facebook Tentera Darat.
Turut hadir, Pengarah JHEV ATM Kelantan/Terengganu, Mej Syed Mohamed Ifandi Syed Jaafar. -airtimes.my