Home Semasa Curi hasi laut negara, nelayan Vietnam tenggelamkan bot elak ditahan APMM

Curi hasi laut negara, nelayan Vietnam tenggelamkan bot elak ditahan APMM

by Bernama

CHUKAI, 18 Ogos – Nelayan Vietnam sanggup menengelamkan bot mereka bagi mengelak ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), selepas ditangkap menceroboh dan mencuri hasil laut.

Pengarah Maritim Negeri Pahang Laksamana Pertama Maritim Amran Daud berkata, taktik tersebut dikesan dilakukan awak-awak yang menaiki sebuah daripada sembilan bot Vietnam yang ditahan dalam Op Kuda Laut, di perairan pantai timur pada 16 dan 17 Ogos lalu.

Katanya tujuh buah bot ditahan pada jarak 68 hingga 147 batu nautika dari Kuala Kemaman, manakala dua tangkapan bot lagi dilakukan di negeri Kelantan petang, semalam.

“Ketika proses menunda bot  ke jeti Maritim Kemaman, dua nelayan Vietnam bertindak mensabotaj bot berkenaan sehingga mengalami kebocoran dan mengakibatkan bot tersebut karam pada jarak 30 batu nautika dari Kuala Kemaman pada pukul 3.34 pagi tadi. Bagaimanapun, tiga anggota penguatkuasa Maritim Malaysia bersama dua nelayan yang berada di atas bot berkenaan berjaya diselamatkan.

“Kami percaya tindakan sedemikian dilakukan oleh nelayan Vietnam untuk melupuskan bukti kes, yang mana sebelum ini mereka pernah melakukan tindakan yang sama,” katanya pada sidang media di Pengkalan Zon Maritim Kemaman di sini hari ini.

Tambahnya, empat buah bot menggunakan nombor pendaftaran bot tempatan, bagi tujuan mengaburi mata pihak berkuasa dan mengelak daripada ditahan.

“Turut dirampas 15 tan metrik hasil laut, 20,000 liter diesel dan peralatan menangkap ikan bernilai RM10 juta tidak termasuk bot yang karam. Kesemua rampasan dan tangkapan telah dibawa masuk ke Jeti Zon Maritim Kemaman dan Jeti Maritim Negeri Kelantan, untuk siasatan lanjut,” katanya.

Amran berkata seramai 111 nelayan termasuk tekong yang ditahan berusia 17 hingga 55 tahun, didapati tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.

Kes disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Perikanan 1985, kerana menceroboh dan menangkap ikan di perairan negara, serta Akta Imigresen 1959/63 kerana tekong dan kebanyakan kru kapal itu yang berusia lingkungan 17 hingga 57 tahun, tidak memiliki sebarang dokumen sah.

Mengikut rekod, sejak 26 Jun sehingga kini, OP Kuda Laut Maritim telah berjaya menahan 45 buah bot nelayan asing bersama 502 awak-awak, termasuk tekong.

Katanya Maritim Malaysia tidak akan berkompromi dengan nelayan asing yang menceroboh perairan negara dan mengaut hasil laut tanpa kebenaran.

“Rondaan dan pemantauan akan terus dipertingkatkan dari semasa ke semasa, untuk mencegah sebarang aktiviti yang menyalahi undang-undang maritim,” katanya. – Bernama

 

Related Articles

Leave a Reply