KUALA LUMPUR, 18 Ogos – Sebanyak 7,374 unit program Satu Anggota Satu Rumah (SASaR) Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan dibina dalam masa terdekat bagi membantu warga Kementerian Pertahanan untuk membeli dan memiliki rumah sendiri.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, rumah mampu milik itu akan dijual dengan harga RM150,000 sehingga RM250,000, manakala unit premium dengan harga RM350,000 hingga RM400,000 seunit.
“Mesyuarat Jemaah Menteri pada 7 Ogos 2020 telah bersetuju secara prinsip terhadap cadangan Kementerian Pertahanan untuk membina perumahan SASaR di Kem Wardieburn dan Kem Genting Kelang, Kuala Lumpur,
“Unit mampu milik ini akan dibina di Kem Genting Klang manakala unit premium akan dibina di Kem Wardieburn. Harga adalah 30 peratus hingga 50 peratus lebih rendah berbanding harga pasaran semasa,” katanya ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Pertahanan di Wisma Pertahanan, hari ini.
Pada masa yang sama, beliau turut merasmikan Majlis Pelancaran Kempen Kibar Jalur Gemilang sempena Bulan Kemerdekaan serta Kempen Pembudayaan Norma Baharu Peringkat Kementerian Pertahanan bagi tahun 2020.
Ismail Sabri turut menjelaskan sebanyak 2,367 unit Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) baharu sedang dan akan dibina di seluruh negara pada tahun ini bagi menampung keperluan anggota ATM.
Beliau berkata pembinaan akan dilakukan di Kem Oran (Perlis), Ken Tok Jalai, Alir Setar (Kedah), Kem Syed Sirajuddin, Gemas (Negeri Sembilan), Kem Tumbi, Jeli (Kelantan), Kem Batu 10, Sibu dan Kem Sri Miri (Sarawak) serta Kem Lok Kawi ( Sabah),
“Kementerian Pertahanan telah memperuntukan sebanyak RM150 juta menerusi Bajet 2020 dan kementerian turut menerima suntikan RM50 juta lagi melalui Pakej Rangsangan Ekonomi Rakyat (PRE) bagi penyelenggaraan RKAT serta bagunan am dan teknikal,
“Sehingga kini sebanyak 3,3113 unit RKAT sedang diselenggara dan dinaik taraf termasuk infrastrukturnya yang sebahagiannya di bawah PRE akan siap sepenuhnya sebelum Oktober tahun ini,” jelasnya.-airtimes.my