PUTRAJAYA, 15 Ogos – Pengarah Jabatan Penguatkuasaan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) direman enam hari bagi membantu siasatan kes rasuah kerana melindungi premis perniagaan haram dan pusat perjudian di sekitar Sungai Buloh.
Perintah reman bermula semalam sehingga Rabu depan dikeluarkan Majistret Shah Wira Abdul Halim di Mahkamah Majistret Putrajaya pada Jumaat.
Pengarah berusia 59 tahun itu ditahan di ibu pejabat SPRM di Putrajaya selepas diambil keterangan pada jam 10.15 pagi semalam.
Suspek dibawa ke mahkamah pada jam 3.07 petang dengan berbaju lokap SPRM berwarna jingga.
Semalam, tiga pegawai penguat kuasa MBSA turut direman enam hari untuk membantu siasatan kes menerima dan mengutip rasuah untuk melindungi premis perniagaan haram di Sungai Buloh.
Penangkapan terbaru ini menjadikan keseluruhan 10 individu telah ditahan SPRM bagi kes berkenaan melibatkan sembilan pegawai dan anggota penguat kuasa MBSA dan seorang peniaga.-Bernama