SEMPORNA, 14 Ogos – Cubaan sekumpulan 13 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Filipina yang cuba menyusup masuk ke negara ini tidak kesampaian apabila mereka ditahan dalam 2 kejadian berasingan di sekitar perairan Semporna, pada Khamis.
Kesemua mereka berusia 7 hingga 50 tahun yang melanggar arahan ‘Perintah Berkurung’ dikesan anggota Batalion 14, Pasukan Gerakan Am (PGA) Tawau di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE) pada kira-kira jam 2.30 pagi.
Pegawai Pemerintah PGA Tawau, Superintenden Mohd Yacob Murad berkata, kesemua suspek sengaja menceroboh masuk ke perairan negara pada awal pagi bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.
“Terdahulu, sepasukan pegawai dan anggota polis berjaya mengesan pergerakan sebuah bot menuju ke arah Semporna di perairan antara Pulau Mataking dan Bohayan,
“Juragan bot dikesan cuba melarikan diri dengan memecut laju bot, namun berjaya dipintas pihak berkuasa,” katanya dalam hantaran Facebook rasminya, semalam.
Mohd Yacob berkata, terdapat 6 lelaki di dalam bot berkenaan dan kesemua mereka gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah ketika ditahan.
“Selang beberapa minit kemudian, anggota bertugas sekali lagi mengesan pergerakan sebuah bot yang dinaiki 7 lelaki.
“Sebaik ditahan, polis mendapati semua suspek pada bot ke-2 juga gagal mengemukakan sebarang dokumen perjalanan masing-masing,” katanya.
Menurutnya lagi, kedua-dua bot dipercayai baharu masuk dari Filipina ke Semporna.
“Hasil pemeriksaan terhadap bot berkenaan, anggota bertugas menemui lapan laras senjata buatan sendiri, kompresor dan tong ais dipercayai digunakan untuk menangkap ikan.
“Sehubungan itu, polis merampas semua barang milik suspek termasuk enjin dan bot yang dianggarkan bernilai lebih RM21,000,” katanya.
Beliau berkata kesemua suspek yang ditahan akan disiasat mengikut Seksyen 6 (1) Akta Kakisan, Letupan dan Senjata Api Berbahaya 1958 dan Seksyen 6 (1), Akta Imigresen 1959/63 kerana memilik senjata berjadual serta masuk ke negara ini secara haram.-airtimes.my