KEDAH, 14 Ogos – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menahan 2 lelaki penduduk tempatan dan merampas 380 kilogram (kg) daun ketum yang dianggarkan bernilai hampir RM27,700.00 di sempadan Malaysia-Thailand berdekatan Durian Burung, awal pagi tadi.
Markas Briged Keenam Infantri Malaysia (6 Briged) dalam kenyataan berkata, pasukan ronda telah mengesan beberapa kenderaan mencurigakan melibatkan kenderaan pacuan empat roda (4×4) dan sebuah motosikal di laluan Batu Sempadan (BS 34).
Hasil pemeriksaan ke atas kenderaan mendapati 38 bungkus plastik hitam sarat dengan 2,280 bungkus plastik lutsinar mengandungi daun ketum seberat 380 kg di dalam kereta berkenaan bersama dua orang lelaki penduduk warganegara Malaysia dari Kuala Nerang, Kedah,
“Penduduk tempatan berkenaan dipercayai sedang memindahkan daun ketum tersebut dari kereta menggunakan motosikal sebelum dimasukkan ke dalam guni putih dan di letakkan di kawasan yang telah dirancang sebelum dibawa masuk ke Thailand oleh penyeludup disana,
“Transaksi pengangkutan dan muatan adalah disebabkan faktor bentuk muka bumi dan halangan yang telah dibina oleh pasukan keselamatan di perbatasan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurut kenyataan itu, nilai kesemua barang rampasan dan daun ketum dianggarkan mencecah hampir RM 27,700.00. Kesemua barang rampasan telah diserahkan kepada IPD Kuala Nerang untuk laporan dan siasatan lanjut. – airtimes.my