LONDON, 13 Ogos – United Kingdom (UK) kini menghadapi krisis pencerobohan pendatang asing tanpa izin (PATI) hampir 10 hari berturut-turut.
Pihak Majlis Daerah Kent County mengeluarkan amaran bahawa mereka tidak akan mampu untuk menjaga kanak-kanak PATI yang mendarat sekiranya pendaratan berterusan untuk beberapa hari lagi.
Associated Press hari ini melaporkan lebih 650 orang PATI merentasi perairan yang sibuk di kawasan Eropah itu.
“PATI menggunakan bot-bot kecil dan cuaca yang baik merupakan faktor mengapa para imigran sanggup merentasi perairan sibuk itu,
“6 Ogos menyaksikan ketibaan paling tinggi dengan 235 migran berjaya mendarat di pesisir UK,” kata laporan itu.
Sebelum ini, UK mempertingkatkan usaha untuk menghalang kemasukan PATI melalui Selat Inggeris dengan mengaturgerak aset ketenteraan bagi melakukan rondaan dan mengesan kemasukan bot PATI.
Kumpulan migran telah menggunakan Dunkirk dan Calais di Perancis sebagai titik permulaan untuk menyeberang ke Selat Inggeris ke UK.
Dalam masa yang sama, wakil kerajaan UK dan Perancis telah mengadakan pertemuan bagi mencari jalan penyelesaian untuk menghalang pergerakan PATI merentasi Selat Inggeris. – airtimes.my