KUCHING, 12 Ogos – Tentera Darat Malaysia (TDM) berjaya mematahkan cubaan penyeludupan keluar barangan minuman keras dan 11 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia melalui 2 operasi berasingan di sempadan Malaysia/Indonesia, pagi tadi.
Sel Perhubungan Raya Markas Divisyen Pertama Infantri Malaysia (1 Div) dalam kenyataan berkata, penahan tersebut dibuat oleh pasukan Batalion ke 10 Rejimen Renjer Diraja (10 RRD) yang melaksanakan Op AWAS di kawasan Serikin dan Ladang Kelapa Sawit Tetangga Akrab (4km dari sempadan Malaysia/Indonesia).
Penahanan bagi penyeludupan minuman keras dibuat pada jam 5.00 pagi manakala tangkapan 11 PATI termasuk kanak-kanak yang dalam cubaan keluar dari negara melalui lorong tikus pula dibuat pada jam 9.00 pagi tadi.
“Seawal jam 5.00 pagi semasa Kpl Henry ak Jamit bersama 7 anggota 10 RRD yang sedang menjalankan Op AWAS di kawasan Serikin telah mendengar bunyi kenderaan memasuki laluan tikus menuju ke sempadan Indonesia,
“Setelah kenderaan tersebut ditahan dan diperiksa, seorang individu menaiki motosikal dan seorang lagi memandu van dipercayai cuba menyeludup keluar 120 karton minuman keras pelbagai jenama ke Indonesia,
“Insiden penahanan berkenaan telah dilaporkan kepada Pegawai Memerintah 10 RRD, Leftenan Kolonal Rashidi Ghazali sebelum kesemua mereka termasuk barangan minuman keras, telefon bimbit, motosikal dan van yang dianggarkan bernilai RM 23,600.00 dibawa ke Balai Polis Bau untuk tindakan selanjutnya,” katanya.
Manakala untuk penahanan PATI, anggota 10 RRD yang diketuai Sarjan Steve ak Saba telah melihat 4 lelaki, 5 wanita bersama 2 kanak-kanak melalui kawasan kawasan Ladang Kelapa Sawit Tetangga Akrab, dengan menaiki 3 buah motosikal,
“Setelah ditahan dan diperiksa, kesemua mereka dipercayai cuba untuk pulang ke Indonesia melalui laluan tidak sah,
“Tiga individu warga tempatan dipercayai tekong darat yang cuba membawa keluar PATI melalui lorong tikus turut ditahan,” jelas kenyataan itu.
Tambahnya, kesemua PATI yang ditahan serta barangan rampasan seperti motosikal dan telefon bimbit dianggarkan bernilai RM12,5000.00 dibawa dan diserahkan ke Balai Polis Serian untuk tindakan selanjutnya serta menjalani saringan COVID-19.
“Melalui Op Benteng, formasi 1 Div dan pasukan di bawah naugan senantiasa berwaspada dan meningkatkan lagi kawalan dalam menjaga keselamatan dan kedaulatan negara serta jenayah rentas sempadan,’ tambahnya. -airtimes.my