Home Pertahanan dan Keselamatan Kes buli Prebet Faiz: 6 anggota tentera yang terlibat telah dilucutkan dari perkhidmatan

Kes buli Prebet Faiz: 6 anggota tentera yang terlibat telah dilucutkan dari perkhidmatan

by M.Daim

KUALA LUMPUR, 10 Ogos – Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri hari ini menegaskan tindakan sewajarnya telah diambil terhadap 6 anggota tentera yang terlibat dalam kes buli Allahyarham Prebet Muhammad Faiz Harun.

Menurut beliau, antara tindakan diambil adalah siasatan dan tindakan secara dalaman oleh Tentera Darat Malaysia (TDM). Selain itu laporan dan siasatan polis telah dilakukan bersama tindakan undang-undang.

“Kesemua anggota yang terlibat telah diberhentikan perkhidmatan mereka pada 4 Mei 2020 dan kini ditahan di Penjara Kepayan bagi menunggu proses perundangan selanjutnya,

“Pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah melakukan siasatan terhadap suspek dan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kota Marudu,” katanya ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul semasa Sesi Kamar Khas Parlimen, hari ini.

Beliau menjelaskan, kesemua suspek telah dituduh dibawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan Seksyen 34 kanun yang sama.

“Tarikh perbicaraan masih belum diputuskan,” ujarnya.

Ismail Sabri menambah, tindakan turut diambil terhadap beberapa orang anggota dari Batalion ke-8 Rejimen Askar Melayu Diraja (8 RAMD) secara pentadbiran.

“Tindakan turut diambil terhadap beberapa anggota lain dari pasukan tersebut juga dikenakan tindakan tegas dari aspek pentadbiran dan tata tertib oleh Tentera Darat Malaysia kerana kecuaian mereka di kawasan operasi,

“Langkah diambil berdasarkan arahan di bawah Perintah Tetap di mana tindakan diambil ke atas mana-mana anggota yang didapati terlibat atau gagal mencegah kesalahan dera atau buli berlaku,” kata Ismail Sabri.

Allahyarham Prebet Muhammad Faiz Harun, 26 dari 8 RAMD dilaporkan mengalami muntah dan tidak sedarkan diri semenjak 22 Mac. Walaubagaimanapun, beliau disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu pada 25 Mac.

Pada ketika itu, beliau meninggalkan seorang balu dan anak perempuan berusia 4 bulan.

Faiz mula bertugas di Negeri di Bawah Bayu semenjak Januari lalu dan sepatutnya dijadualkan tamat tugas pada 5 April.

 

Related Articles

Leave a Reply