KUALA LUMPUR, 9 Ogos – Kementerian Kesihatan Malaysia mengesahkan 13 kes baharu jangkitan COVID-19 telah dikesan pada hari ini.
Angka tersebut merangkumi 9 kes import dan 4 kes penularan tempatan.
KKM dalam satu kenyataan berkata, 4 kes tempatan adalah melibatkan 3 kes di Pulau Pinang dan 1 kes di Putrajaya.
“2 kes di Pulau Pinang adalah daripada kluster Sivagangga manakala 1 kes adalah Kluster Kurau. Sementara itu, Putrajaya melibatkan 1 kes iaitu Kluster Meranti,” kata Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.
Menurut beliau, kluster Kurau melibatkan seorang pesakit yang merupakan abang ipar kepada kes yang dilaporkan pada 7 Ogos lalu. Pesakit terbabit dikesan melalui aktiviti pengesanan aktif.
Beliau menambah, seramai 115 individu yang merupakan kontak rapat kepada kluster ini telah disaring dengan 106 disahkan negatif sementara 9 lagi menunggu keputusan.
Kluster Meranti pula melibatkan seorang petugas kesihatan dan merupakan kontak kepada pesakit yang dikesan semasa saringan pra pembedahan pada 31 Julai lalu.
Kedua-dua kluster tersebut merupakan kluster terbaharu.
“Punca jangkitan kluster ini masih dalam siasatan dengan 15 individu telah disaring melalui pengesanan kes secara aktif,” kata Ketua Pengarah Kesihatan.
Sementara itu, Noor Hisham menjelaskan seramai 4,636 kontak rapat Kluster Sivagangga telah disaring dengan 45 daripadanya telah disahkan positif sehingga hari ini.
“Seramai 4,078 kontak disaring di Kedah, 490 di Perlis dan 168 pula di Pulau Pinang,” katanya.
Kedah mencatatkan kes tertinggi dalam kluster Sivagangga dengan 31 pesakit telah dikesan menghidap wabak itu. Selain itu, Perlis mencatatkan 11 kes manakala Pulau Pinang mencatatkan 3 kes.
Kuala Lumpur pula mencatatkan kes import yang tertinggi pada hari ini dengan melibatkan 7 kes. Sarawak dan Selangor masing-masing mencatatkan 1 kes.
Dengan pertambahan 13 kes baharu ini, jumlah kes jangkitan COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 9,083 kes dengan kes aktif sebanyak 174 kes.
“Sehingga kini, terdapat 1 kes postif sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan tiada kes memerlukan bantuan pernafasan,
“Tiada kes kematian turut dicatatkan pada hari ini dan jumlah kematian masih kekal pada 125 kes,” kata Noor Hisham.
Pada masa yang sama, beliau mengesahkan seramai 9 orang pesakit telah disahkan pulih dari wabak itu dengan menjadikan jumlah pesakit sembuh di negara ini seramai 8,784 orang. – airtimes.my