KUALA LUMPUR, 7 Ogos – Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Hussein memohon maaf kepada Dewan Rakyat dan seluruh rakyat Malaysia selepas satu video beliau menghisap vape semasa persidangan sedang berlangsung tular di media sosial semalam.
Hishammuddin yang juga Ahli Parlimen Sembrong menerusi catatan di Facebook rasminya mengakui kesalahan menghisap vape di dalam Dewan Rakyat.
“Sekali lagi saya mohon maaf kepada Dewan yang mulia serta seluruh rakyat Malaysia,
“Saya janji tidak akan ulangi kesalahan ini. Saya juga tetap berpendirian bahawa tiada sesiapa boleh mengatasi undang-undang,” katanya.
Jelasnya, Kementerian Kesihatan Malaysia telah mengenakan denda atas perbuatan beliau itu.
“Saya akan bayar. Terima kasih semua atas teguran dan nasihat,” ujarnya.
Sebelum itu menerusi ciapan twitternya, Hishammuddin juga memohon maaf atas perbuatannya itu.
“Maaf, saya tidak sedar. Ia adalah tabiat baharu. Saya minta maaf kepada Dewan dan berjanji tidak akan mengulangi lagi,” jelasnya.
Terdahulu, pengguna media sosial yang dikenali sebagai Mhd Shamin menerusi twitternya berkongsi sebuah klip video berdurasi 9 saat menunjukkan Hishammuddin sedang menghisap vape semasa persidangan sedang berlangsung di Dewan Rakyat.
“Adoiii buat hal betul laa,” kata Mhd Shamin. – airtimes.my