KUALA LUMPUR, 5 Ogos – Pihak Kesultanan Sulu di Filipina menyuarakan sokongan mereka terhadap Setiausaha Luar Filipina, Teodoro Locsin Jr yang menegaskan Sabah adalah sebahagian daripada Filipina.
“Kami berbangga dengan tindakan Setiausaha Luar Filipina untuk memperkukuhkan hak kami,” kata pihak kesultanan dalam satu kenyataan yang dikeluarkan, semalam.
Pada masa yang sama, mereka menegaskan Negeri di Bawah Bayu itu adalah milik mereka.
“Sultan Sulu ke-35, Paduka Mahasari Al-Maulana Ampun Sultan Hadji Muedzul-Lail Tan Kiram ingin menegaskan bahawa Borneo Utara (Sabah) adalah sebahagian daripada tanah pusaka milik orang Sulu,
“Orang Sulu telah lama menetap dan memiliki tanah ini lebih 600 tahun lalu,” kata kenyataan yang dikeluarkan oleh Royal House of Sulu.
Kenyataan yang sama turut menegaskan bahawa datuk kepada Sultan Sulu-35, Sultan Moh. Esmail Enang Kiram telah diiktiraf oleh kerajaan Filipina sebagai Sultan Sulu yang sah.
“Menerusi Esmail, masyarakat Sulu telah memindahkan hak Borneo Utara kepada Presiden Macapagal pada tahun 1962,
“Ayah kepada Sultan Sulu-35, Sultan Moh. Mahakuttah Abdulla Kiram telah telah diiktiraf sebagai pewaris takhta oleh Presiden Marcos pada 1974 melalui Memorandum Order No. 427,” katanya.
Selain itu, kenyataan itu turut mendakwa Mahakuttah Abdulla Kiram telah diiktiraf diseluruh dunia termasuk oleh Duke of Braganza di Portugal; bekas Presiden Poland, Lech Walesa dan Putera Ethiopia, Ermias Sahle Selassie.
Pada akhir Julai lalu, Setiausaha Luar Filipina telah menegaskan bahawa Sabah adalah merupakan sebahagian daripada Filipina di akaun twitternya.
Kenyataan beliau telah menimbulkan kemarahan rakayat Malaysia dan mendapat teguran dari Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein yang menegaskan kenyataan itu adalah tidak bertanggungjawab. – airtimes.my