KUALA LUMPUR, 5 Ogos – Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim menegaskan kerajaan perlu menyiasat kehadiran pihak Suruhanjaya Tinggi Bangsa-bangsa Bersatu Mengenai Pelarian (UNHCR) di negara ini.
Menurut beliau, kad UNHCR sepatutnya dikeluarkan oleh pihak Depot Imigresen.
“Kad UNHCR sepatutnya dikeluarkan dari Depot Imigresen. Sebaliknya mereka (pendatang) dibenarkan untuk walk-in untuk ambil kad ini di pejabat UNHCR,
“Mereka (pendatang) tidak mempunyai sebarang dokumen dan bagaimana boleh bergerak dalam negara ini dengan bebas?” kata Shahidan Kassim di Dewan Rakyat, semalam.
Beliau menambah, ada sesetengah pemegang kad UNHCR di negara ini menggunakan kad yang dikeluarkan oleh negara jiran.
“Ada kad UNHCR yang mereka bawa dikeluarkan oleh negera jiran seperti Indonesia, Thailand dan Filipina,
“Mengapa kita perlu beri pengiktirafan kepada pemegang kad yang dikeluarkan oleh negara jiran untuk berada di negara ini?” soalnya.
Sebelum ini, pihak Kementerian Dalam Negeri menegaskan Malaysia bukan Negara Pihak kepada Konvensyen Status Pelarian 1951 atau Protokol Status Pelarian 1967.
Lantaran daripada itu, status pemegang kad UNHCR di negara ini adalah sebagai Pendatang Asing Tanpa Izin. – airtimes.my