BANGKOK, 4 Ogos – Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Thailand (CAAT) berkata warga asing terpilih termasuk pekerja migran dari negara jiran yang dibenarkan memasuki negara itu hari ini.
Ketua Pengarah CAAT Chula Sukmanop berkata orang lain yang boleh memasuki negara itu melalui sempadan di bawah kaedah pelonggaran termasuk pasangan dan penduduk tetap serta pemegang permit bukan warganegara Thailand.
“Tetamu kerajaan dan mereka di bawah pengaturan khas atau yang dibenarkan perdana menteri dibenarkan memasuki negara ini dengan pesawat.
“Mereka perlu mematuhi langkah-langkah pencegahan di bawah arahan jawatankuasa pelonggaran sekatan termasuk menjalani kuarantin selama 14 hari di fasiliti negara,” menurutnya dalam kenyataan.
Pada 22 Julai, Pusat Pentadbiran Situasi COVID-19 (CCSA) bersetuju membenarkan pekerja migran dari Kemboja, Myanmar, Laos dan Vietnam dalam sektor infrastruktur dan industri makanan memasuki Thailand mulai 1 Ogos, satu langkah untuk memulihkan ekonominya yang terjejas teruk akibat pandemik.
Selain itu, pelancong perubatan serta warga asing yang mengambil bahagian dalam persidangan dan pameran perdagangan antarabangsa, kru produksi filem asing dan pemegang kad Elit Thailand (mereka dengan visa kediaman jangka panjang dan visa kediaman kemasukan berulang kali) adalah antara mereka yang dibenarkan memasuki negara tersebut.
Sementara itu, Thailand melaporkan tiga kes baharu COVID-19 yang membabitkan seorang pelajar Thailand yang kembali dari India dan sifar kematian dalam tempoh 24 jam lepas, menjadikan jumlah keseluruhan kes sebanyak 3,320 dengan 58 kematian setakat ini.
Jurucakap CCSA Thaweesilp Wissanuyothin berkata dua rakyat Thailand berusia 26 dan 43 tahun yang kembali dari Emiriah Arab Bersatu telah diuji positif.
“Sejak 3 April sehingga semalam, sejumlah 70,942 orang tiba di Thailand dan semuanya telah menjalani kuarantin wajib selama 14 hari di fasiliti negara. Sejumlah 383 orang yang kembali telah diuji positif COVID-19,” katanya pada taklimat COVID-19 pada Isnin.
Setakat ini, Thailand telah melaporkan sejumlah 3,320 kes COVID-19 dengan 58 kematian. Sejumlah 3,142 pesakit telah pulih sepenuhnya dan pulang ke rumah masing-masing manakala 120 masih dirawat.
Thaweesilp berkata sejumlah 71 kakitangan dan pegawai tentera Amerika Syarikat yang akan menghadiri latihan bersama dengan tentera Thailand tiba hari ini.
Beliau berkata sejumlah 39 kakitangan dan pegawai tentera Jepun dijadualkan tiba petang ini dan esok untuk menghadiri satu lagi latihan bersama ketenteraan.
“Mereka akan menjalani kuarantin wajib di sebuah pusat kuarantin alternatif negara di Bangkok,” katanya. – Bernama