Home Semasa Kerajaan belum muktamadkan jajaran ECRL – Menteri Pengangkutan

Kerajaan belum muktamadkan jajaran ECRL – Menteri Pengangkutan

by M.Daim

KUALA LUMPUR, 3 Ogos – Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Ir. Dr. Wee Ka Siong hari ini menegaskan kerajaan sedang mengambil kira pelbagai faktor bagi menentukan jajaran ECRL yang akan dibina.

Ini terutamanya pada Seksyen C yang melibatkan jajaran Mentakab ke Pelabuhan Klang.

Menurut beliau, perbandingan dilakukan antara jajaran asal dan penjajaran semula yang diumumkan oleh kerajaan Pakatan Harapan.

“Ada pelbagai kekangan dan perkara teknikal perlu diatasi ketika melakukan perbandingan antara kedua-dua jajaran ini,” kata Ka Siong ketika menjawab soalan tambahan oleh Ahli Parlimen Jelebu.

Antara faktor yang diambil kira adalah kesalinghubungan antara rel dan implikasi kewangan.

Menteri berkata, beberapa perbincangan telah dilakukan antara pihaknya dengan kerajaan negeri bagi menilai jajaran yang sesuai.

“Kami akan berjumpa dengan kerajaan Selangor pada minggu ini bagi melihat pilihan yang menguntungkan rakyat dan juga pendapat mereka,

“Banyak perbandingan dibuat dan ianya melibatkan impak sosial serta alam sekitar. Sebagai contoh, jajaran ke selatan (Jelebu) akan melibatkan 4 buah kampung asli di Selangor sementara jajaran asal pula sebuah kampung sahaja,” jelas Ka Siong.

Beliau turut menegaskan rakyat dan wakil rakyat akan diberi ruang untuk memberi pendapat mereka berhubung projek ini.

Pada masa yang sama, Ka Sion turut berharap perkara dan permasalahan yang timbul perlu diselesaikan secara teknikal dengan baik.

Penjajaran semula Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dibuat oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada tahun lalu.

ECRL terbahagi kepada 3 seksyen utama iaitu Seksyen A, Jajaran Kota Bharu ke Dungun; Seksyen B, Jajaran Dungun ke Mentakab; dan Seksyen C, Jajaran Mentakab ke Pelabuhan Klang.

Penjajaran semula ini melibatkan perubahan beberapa stesen serta pengurangan kos sebanyak RM 21.5 bilion atau 33 peratus daripada kos projek kepada RM 44 bilion.

Selain itu, jajaran baharu turut dipendekkan kepada 648 kilometer berbanding panjang asal iaitu 688 kilometer. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!