Home Semasa COVID-19: 8 kluster berpunca dari keengganan mematuhi kuarantin wajib di rumah

COVID-19: 8 kluster berpunca dari keengganan mematuhi kuarantin wajib di rumah

by M.Daim

KUALA LUMPUR, 3 Ogos – Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah hari ini mendedahkan terdapat 8 kluster COVID-19 di negara ini berpunca dari pelanggaran kuarantin wajib di rumah.

Menurut beliau, kesemua kluster tersebut adalah aktif pada ketika ini.

Antara kluster yang dinyatakan ialah Kluster Sivagangga, Kluster Elsa, Kluster PUI Novgorod, Kluster PUI Pitakwa, Kluster PUI Melbourne, Kluster PUI Ramnad, Kluster PUI Al Khobar dan Kluster PUI Shirala.

“Kesemua kluster terbabit adalah berpunca daripada kes import yang tidak mematuhi Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah (HSO) yang dilaksanakan dari 10 Jun hingga 23 Julai 2020,” kata Noor Hisham dalam satu kenyataan, hari ini.

Sementara itu, angka kes jangkitan Kluster Sivagangga telah meningkat kepada 21 orang dengan pertambahan 1 kes.

Semalam, kerajaan negeri Kedah telah memohon untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan peringkat Pentadbiran (TEMCO) di 4 mukim berikutan peningkatan kes dari kluster tersebut. Pemohonan tersebut telah diluluskan oleh kerajaan pusat pada hari ini.

Sementara itu, Dr Noor Hisham sebanyak 2 kes baharu dilaporkan pada hari ini dengan menjadikan jumlah keseluruhan kes sebanyak 9,001.

“Kedua-dua kes baharu yang dilaporkan adalah kes penularan di dalam negara yang melibatkan warganegara Malaysia. Tiada kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara yang dilaporkan pada hari ini,

“Sehingga kini, terdapat 1 kes positif COVID-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU). Tiada kes yang memerlukan bantuan pernafasan,” katanya.

Beliau menambah, tiada kes kematian direkodkan.

Sementara itu, seramai 4 orang pesakit dilaporkan telah pulih dan menjadikan jumlah kes sembuh seramai 8.668 kes. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!