KOTA TINGGI, 29 Julai – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berjaya menahan 42 orang pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia yang cuba menceroboh keluar dan masuk ke negara ini dalam Operasi Benteng (Op Benteng) awal pagi tadi.
Sel Perhubungan Raya Markas Divisyen Ketiga Infantri Malaysia (3 Div) dalam kenyataan berkata, Pos Pemerhati daripada Kompeni A, Batalion Pertama Rejimen Renjer Diraja (1 RRD) telah mengesan sebuah bot yang mendarat di sekitar perairan Punggai dan dipercayai sedang menurunkan PATI untuk masuk ke Malaysia.
“Ketua Kompeni, Mejar Mohd Hafizullah Mohd Rashidi bertindak menghantar Tim Quick Reaction Force (QRF) ke Kampung Gambut, Punggai dan telah berjaya menangkap kesemua PATI,
“Seramai 30 orang PATI yang dipercayai baru masuk ke Malaysia dan 4 orang PATI yang dipercayai ingin keluar dari Malaysia berjaya ditangkap,” katanya.
Manakala tangkapan kedua, seramai 8 orang PATI yang ingin keluar dari negara telah ditangkap pada jam 8.20 pagi setelah pihaknya menjalankan pencarian dan pengeledahan di sekitar Pungai.
“Kesemua PATI berusia di antara 23 hingga 40 tahun melibatkan 32 lelaki dan 9 wanita serta seorang kanak-kanak perempuan,
“Keseluruhan nilai rampasan dianggarkan bernilai RM 36 ribu melibatkan 33 buah telefon pintar dan wang tunai Indonesia bernilai 11 Juta Rupiah (RM3,202),
“Kesemua PATI akan diserahkan ke Balai Polis Bayu Damai untuk tindakan lanjut sebelum menjalani ujian COVID-19,” tambah kenyataan itu. – airtimes.my