BUKIT KAYU HITAM, 23 Julai – Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) berjaya menggagalkan cubaan menyeludup makanan masuk ke negara ini, melalui Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan Malaysia (ICQS).
Dalam pemeriksaan pada jam 6.15 petang itu, barangan terbabit ditemui selepas pemeriksaan dilakukan ke atas lori kargo yang ditahan di SJR (sekatan jalan raya) AKSEM.
Timbalan Komandan AKSEM Kedah, Abd Mutalif Ahmad, berkata anggota AKSEM mengesan barangan yang tidak dibayar cukai itu disembunyikan di ruang hadapan tempat duduk pemandu.
“Anggota AKSEM kemudian menyerahkan kes berkenaan kepada pihak Jabatan Kastam Diraja Malaysia bagi siasatan lanjut. Suspek di syaki melakukan kesalahan dibawah Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967”
“Jumlah anggaran barangan rampasan bernilai RM111,264”
“Jikalau barangan seperti ini boleh diseludup masuk, bagaimana pula barangan yang lain yang boleh mengancam keselamatan serta kedaulatan negara seperti dadah dan senjata api,” katanya.
Abd Mutalif berkata, sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan diadakan jumlah penyeludupan berkurangan dan jangkaan ianya akan meningkat apabila tempoh PKPP tamat. Namun pihak AKSEM sentiasa bersiap siaga menghadapi cabaran tersebut dengan mempertingkatkan lagi pemantauan dan operasi.
AKSEM juga sentiasa berkongsi maklumat bersama agensi-agensi lain di sempadan dalam menangani isu penyeludupan – airtimes.my