KUALA LUMPUR, 24 Julai – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) masih meneruskan siasatan kes projek pertukaran tanah (land swap) milik Kementerian Pertahanan.
Ketua SPRM, Datuk Seri Azam Baki berkata siasatan memang SPRM sedang dibuat dan beberapa lagi belum selesai.
“Buat masa ini, saya tidak dapat mengumumkan sebarang keputusan mengenai kes berkenaan,” katanya dalam sidang media selepas majlis pelancaran buku ‘Modul Integriti dan Rasuah’ semalam.
Beliau berkata pegawainya sedang memanggil beberapa lagi saksi lain untuk membantu siasatan, selain telah membuka lagi kertas siasatan kes tersebut.
Pada Februari tahun lepas, Kementerian Pertahanan telah mendedahkan kerajaan rugi lebih RM500 juta bagi urus niaga ‘land swap’ membabitkan tanah milik kementerian itu yang dipercayai berlaku sejak 1997.
Semua kerugian dan ketirisan itu membabitkan 16 projek ‘land swap’ terdiri daripada 2,923 ekar (1,183 hektar) tanah milik Kementerian Pertahanan dengan nilai RM4.7 bilion dan kos projek sebanyak RM4.8 bilion. – airtimes.my