KOTA TINGGI, 22 Julai – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berjaya menahan 2 pendatang asing tanpa izin (PATI) warganegara Indonesia dalam Operasi Benteng (Op Benteng) di persisiran pantai Ladang Sungai Tengah, Kota Tinggi, Johor.
Sel Perhubungan Raya, Markas Divisyen Ketiga Infantri Malaysia (3 Div) dalam satu kenyataan berkata, tangkapan tersebut dibuat oleh pasukan anggota Batalion Pertama Rejimen Renjer Diraja (1 RRD), diketuai oleh Mej Mohamad Hafizullah Mohamad Rashidi selaku Ketua Kompeni A yang sedang melakukan rondaan di kawasan tanggungjawab, awal pagi semalam.
“Anggota petugas di Pos Pemerhati, Kompeni A, 1 RRD telah mengesan dua orang yang dipercayai PATI sedang bersembunyi di sebalik batu besar dengan menggunakan alat bantuan penglihatan malam, Night Vision Google (NVG),
“2 PATI tersebut telah ditangkap dengan nilai rampasan dianggarkan bernilai RM 5,169 dan mata wang Indonesia 3.85 Juta Rupiah (RM 560) yang melibatkan 2 buah telefon bimbit serta wang tunai,” katanya.
Menurut kenyataan itu, PATI diserahkan ke Balai Polis Bayu Damai untuk tindakan selanjutnya sebelum menjalani ujian COVID-19.
“Pasukan sedang meneruskan pencarian di kawasan sekitar Ladang Sg. Tengah bagi mencari saki baki PATI dan Tekong,” tambahnya. – airtimes.my