KUALA LUMPUR, 21 Jul – Semua rakyat Malaysia termasuk warga asing yang dibenarkan masuk ke negara ini akan dikenakan kuarantin wajib selama dua minggu di pusat-pusat kuarantin yang disediakan oleh kerajaan bermula Jumaat ini.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata mereka yang terlibat perlu menanggung sepenuhnya kos kuarantin di pusat kuarantin sama ada di Institut Latihan Awam atau hotel berdasarkan kos yang telah dipersetujui sebelum ini.
“Sejak tiga hari lepas, kes baru yang dilaporkan di seluruh dunia telah melebihi angka 200 ribu sehari. Ini juga menyumbang kepada peningkatan jumlah kes di Malaysia apabila rakyat kita pulang dari luar negara,
“Kerajaan mendapati masih terdapat individu yang melanggar SOP dan peraturan kuarantin wajib di rumah dan sikap degil mereka ini mengundang risiko penularan tempatan,
“Kerajaan memandang serius insiden-insiden ketidakpatuhan SOP home quarantine yang telah menyebabkan penularan jangkitan COVID-19 kepada ahli keluarga dan juga masyarakat sekeliling,
“Tindakan mereka ini adalah amat tidak bertanggungjawab dan pihak berkuasa akan mengambil tindakan yang tegas termasuk mengenakan kompaun RM1,000 ataupun mendakwa di mahkamah dan boleh dikenakan hukuman penjara tidak melebihi 6 bulan,
“Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan mengenal pasti serta mewartakan pusat kuarantin atau hotel yang bersesuaian sebagai Stesen Kuarantin,” katanya pada sidang media hari ini.
Beliau turut menegaskan warga asing atau rakyat Malaysia yang ingin pulang ke Malaysia diwajibkan menjalani ujian swab COVID-19 di negara asal dalam tempoh 3 hari sebelum tarikh penerbangan.-airtimes.my