KUALA LUMPUR, 20 Julai – Polis Diraja Malaysia (PDRM) memohon kerajaan mempertimbangkan elaun khas atau bayaran insentif sebanyak RM500 sebulan kepada seramai 2,270 pegawai dan anggota Pasukan Polis Marin (PPM).
Pengarah Pengurusan Bukit Aman Datuk Abdul Rahim Jaafar berkata permohonan berkenaan adalah berasaskan kepada beberapa kriteria PPM iaitu kepakaran, kemahiran, kepentingan perkhidmatan, risiko kerja, kesusahan, galakan dan keanehan tugas.
Katanya, elaun atau bayaran insentif itu wajar kerana pasukan berkenaan tidak pernah menerima elaun khas sejak penubuhannya pada tahun 1947, iaitu kira-kira 73 tahun lepas.
“Permohonan bayaran insentif ini melibatkan implikasi kewangan sebanyak RM13,620,000 setahun,” katanya pada sidang media di Bukit Aman di sini, hari ini.
Abdul Rahim berkata permohonan insentif untuk PPM itu adalah antara empat elaun yang dikemukakan oleh PDRM untuk pertimbangan kerajaan.
Dalam pada itu, beliau berkata PDRM juga telah menghantar kertas kerja kepada Jabatan Perkhidmatan Awam bagi mempertimbang kenaikan elaun pakaian seragam daripada RM500 ke RM1,000, pada September tahun lepas.
Katanya, elaun yang ada ketika ini tidak mencukupi untuk menampung tempahan pakaian seragam yang bernilai sehingga RM800 sepasang.
Selain itu, beliau juga berharap kerajaan meluluskan permohonan elaun perjalanan dari tempat kediaman ke tempat bertugas sebagaimana yang dinikmati Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
“Elaun perjalanan dari tempat kediaman ke tempat bertugas, elaun ini telah diperolehi ATM sejak dulu. Pertimbangan pemberian ini adalah untuk anggota dan pegawai yang tidak diperuntukkan perumahan polis, di mana mereka terpaksa duduk luar dan menyewa di tempat yang jauh,” katanya.
Selain itu, PDRM juga meminta kerajaan agar mempertimbangkan kenaikan bayaran gantian kerja lebih masa yang diterima ketika ini sebanyak RM200 kepada RM500. – Bernama