RANTAU PANJANG, 20 Julai – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berjaya menahan 2 pendatang asing tanpa izin (PATI) warganegara Thailand yang cuba menyeberangi Sungai Golok dari Malaysia ke Thailand dalam Operasi Benteng (Op Benteng) pada Sabtu lepas.
Markas Briged Kelapan Infantri Malaysia (8 Bgd) dalam satu kenyataan berkata, tangkapan tersebut telah dibuat hasil daripada tindakan pemantauan dan serbuan pasukan operasi Batalion Keempat Rejimen Renjer Diraja (4 RRD) di sekitar Kampung Tanjung Erat, Rantau Panjang.
“Semasa melaksanakan pemantauan di lokasi tersebut, anggota 4 RRD telah melihat 3 lelaki cuba menyeberangi Sungai Golok menggunakan pelampung yang diperbuat daripada tiub tayar kenderaan,
“Serbuan dibuat terhadap kumpulan lelaki tersebut dan 2 lelaki telah berjaya ditangkap, manakala seorang daripada mereka yang dikenalpasti sebagai Tekong Darat telah berjaya melarikan diri,” kata kenyataan itu.
Menurut kenyataan itu, maklumat indentiti tekong tersebut telah disalurkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk siasatan lanjut.
Turut dirampas dalam tangkapan itu adalah wang tunai dan telefon bimbit yang dianggarkan nilai keseluruhannya RM9,232 ribu dan wang tunai Thailand 1,360 bath.
“PATI dan barang rampasan telah diserahkan kepada Balai Polis Lubok Stol dan pihak Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Rantau Panjang,” katanya.
Selain itu, tangkapan itu merupakan yang kedua di lokasi pengkalan haram yang sama dilakukan oleh pasukan 4 RRD sepanjang operasi dilaksanakan.
“Penduduk tempatan dimohon untuk terus memberi sokongan kepada pasukan keselamatan dengan menyalurkan maklumat jenayah rentas sempadan dan tidak terlibat melindungi atau bersubahat dengan aktiviti penyusupan PATI,” ujarnya. – airtimes.my