Home Semasa Guna pendekatan ‘minilateralism’ tangani isu Laut China Selatan

Guna pendekatan ‘minilateralism’ tangani isu Laut China Selatan

by Bernama

KUALA LUMPUR, 14 Julai – Negara anggota ASEAN perlu segera mencari pendekatan alternatif dalam menangani peningkatan ketegangan di Laut China Selatan berhubung tuntutan wilayah bertindih kerana ia berpotensi menjejaskan keamanan dan kestabilan di rantau itu.

Tatkala masih belum ada penyelesaian jelas, penganalisis kanan Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS) Malaysia Thomas Benjamin Danial, berkata ASEAN mungkin boleh menimbang menggunakan pendekatan ‘minilateralism’, kerana ia dilihat mungkin menjadi lebih berkesan dalam menangani isu di Laut China Selatan.

“Negara yang terbabit langsung (negara ASEAN yang menuntut) perlu melangkah di atas asas minilateralism, berbanding mengambil sikap menunggu supaya semua negara (anggota) ASEAN bersetuju atau turut serta,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata: “minilateralism adalah komponen kepada multilateralisme. Dalam konteks Laut China Selatan, negara yang menuntut adalah Malaysia, Vietnam, Brunei dan Filipina, seharusnya mengorak langkah menangani isu tertunggak antara mereka, dan antara mereka dengan China tanpa terlalu banyak bergantung kepada seluruh negara anggota ASEAN yang lain.”

“Hakikatnya, ASEAN sebagai sebuah pertubuhan, perlu berperanan sebagai penyokong. Bukan selaku  pihak yang menggerak dan menerajui rundingan,” katanya.

Ujar Thomas, ini kerana asas ASEAN itu sendiri berdasarkan permuafakatan, semua masalah dilihat dengan cara yang berbeza-beza.

“Dengan 10 negara, kami mempunyai 10 kepentingan nasional dan 10 cara untuk melihat masalah yang berbeza. Contohnya, Laut China Selatan. Ia tidak dipandang dengan kepentingan yang sama oleh semua 10 negara anggota, sama juga dengan isu Rohingya atau Mekong. Saya merasakan minilateralism mungkin kaedah paling berkesan,” katanya.

ASEAN dianggotai Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam.

Beliau berkata rondaan tiga pihak Sulu-Laut Celebes boleh dijadikan sebagai model kerjasama.

Dikenali Rondaan Maritim Tiga Pihak, inisiatif ini dimulakan pada Jun 2017 antara Malaysia, Indonesia dan Filipina sebagai tindak balas terhadap penculikan dan serangan di kawasan itu oleh kumpulan militan Abu Sayyaf pada 2016.

Thomas berkata walaupun mempunyai beberapa perselisihan termasuk isu perbatasan, ketiga-tiga negara tetap bersepakat menangani ancaman keselamatan oleh militan.

“Begitu juga dalam isu Laut China Selatan, negara-negara yang mempunyai kepentingan harus melakukan lebih banyak perkara secara bersama. Banyak yang boleh dilakukan dengan cara ini (minilateralism),” tambah Thomas.

Negara ASEAN yang terlibat dalam pertikaian wilayah di Laut China Selatan terdiri Brunei, Malaysia, Filipina dan Vietnam. China dan Taiwan turut mengemukakan tuntutan.

Bagaimanapun, peningkatan aktiviti ketenteraan di Laut China Selatan sejak beberapa tahun kebelakangan ini, menimbulkan kebimbangan ASEAN dan beberapa pihak terbabit serta pemerhati  di seluruh dunia. – Bernama

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!